facebook google twitter tumblr instagram linkedin
  • Home
  • Novel
    • Disebalik Tirai Cantik
    • Novel 2
    • Novel 3
    • Novel 4
  • Cerpen
  • Puisi
  • Pantun
  • Mutiara Kata
  • About

Eisha Erisha


Assallamualaikum wbt dan salam kasih sayang kepada semua sahabat Blogger.




Apa khabar semua sahabat Blogger. Semoga semua sihat dan baik-baik sahaja. Bertemu lagi kita di ruangan Puisi. Petang ni saya nak share puisi lagi. Sambil duduk-duduk mencari ilham, Alhamdulillah Allah hadirkan idea. Dan terciptalah Puisi ini. 

Selamat membaca dan menghayati setiap bait kata puisi ini. Untuk kali ini ada sedikit kelainan kerana saya sharekan lukisan permandangan hasil lukis tangan saya untuk tatapan semua. Walaupun hasilnya tidaklah sehebat pelukis profesional kerana masih banyak perlu diperbaiki tapi diharap dapat menyejukkan pandangan sahabat semua.....Terima kasih atas sokongan semua dan teruskan membaca setiap hasil karya di dalam Blog ini. Wassallam

POHON KELAPA NAN SEBATANG

Pohon kelapa nan sebatang
Tegaknya berdiri utuh dan teguh
Sarat dengan buahnya yang merimbun
Daun-daunnya rimbun dan menghijau
Tumbuhnya di suatu ruang alam hanya ada satu
Disisinya sungai yang mengalir lesu 
Di sekitarmu ada batu-batu
Hamparan rumput-rumput turut mewarnai
Tumbuhnya subur di sebalik batu
Di hujung sana ada bukit-bukau 
Ada juga pohon-pohon rimbun menghijau
Di atas sana awan-awan berarak perlahan
Sang burung riang berkicauan ke sana sini
Sambil menyanyi riang
Sambil menghirup udara segar dan nyaman
Mungkin menjadi peneman di kala sunyi
Sesekali dedaunanmu melambai-lambai
Tak tahu ke mana arah ingin dituju
Ditiup angin lalu yang kekadang kencang kekadang perlahan
Sepertinya sedang memanggil-manggil
Namun tiada sesiapa di situ 
Hanya lambaian yang datang dan pergi
Deruan angin sesekali berbunyi syahdu
Tapi tegakmu berdiri  tetap teguh
Di saat datangnya badai
Ia masih utuh dan teguh di situ

 




6:09 PM 10 comments

Assallamualaikum dan Selamat petang rakan blogger ....

Alhamdulillah hari ini baru berkesempatan untuk kongsikan Bab 1 novel pendek "Di sebalik tirai cantik". Jom kawan-kawan semua untuk teruskan membaca. Akan diteruskan untuk setiap Bab. Jika ada pendapat dan komen bolehlah berkongsi untuk ditambah baik untuk bab seterusnya.

Selamat membaca semua.

                         " DI SEBALIK TIRAI CANTIK "

Sukarnya mata ni nak dilelapkan. Erm malam pertama selalunya memang macam ni. Tapi apa nak ditakutkan. Mulut Raisha terkumat kamit tak henti-henti membacakan ayat-ayat suci Al Quran yang dihafalnya. Waktu-waktu begini kadang-kala hanya terbaca apa yang terlintas di fikiran sahaja. Dan  bila dalam ketakutan kadang-kadang ayat yang dah dihafal tak sempurna bacaannya. Peluh hangat mengalir deras  dirasakan. Sejuk sahaja dahinya terasa. Kipas berputar laju. Rasanya kipas hanya di titik ketiga tapi kelajuannya terasa sedikit ganjil. Raisha berselindung di balik selimutnya. Satu badan ditutup dengan selimut tebal itu. Ditutup rapat kedua telinganya dengan lengannya. Biar tidak kedengaran apa-apa bunyi yang mencurigakan. Mungkin berkat memakai selimut pemberian ibunya untuk bekalannya sepanjang pengajian. “Terima kasih ibu”, sempat Raisha menitipkan ucapan terima kasih kepada ibunya.

“Hah simpan elok-elok selimut ni. Ibu tahu kat sana nanti kamu akan dibekalkan dengan selimut juga. Tapi ibu tahu mesti tak cukup untuk habit kamu tu nanti. Yelah anak ibu ni kalau tidur tak berselubung tak sahkan”, kata Ibu mengingatkan Raisha tentang habitnya. Raisha hanya tersenyum simpul dengan kata-kata ibunya. “Perli atau nasihat?”, bisik Raisha dalam hati tapi tidak merasa marah pun dengan kata-kata ibunya. Kerana apa yang dikatakan ada benarnya.

“Aduhai hatinya masih tak keruan. Tak tenteram. Bacaan ayat suci Al Quran tetap diteruskan. Biarlah sehingga dia tertidur sendiri akhirnya. Selalu begitulah kesudahannya. “Sudah jam berapa sekarang ni”, detik hati Raisha. Diberanikan diri untuk menyelak selimutnya perlahan-lahan dan dicapai handphone. Kedudukan handphone memang dekat di hujung kepalanya. Sengaja diletakkan di situ agar mudah untuk dia mematikan alarm jam bila berbunyi nanti. Tak berani Raisha mengangkat kepala nak melihat sekeliling. Terasa seperti ada sesuatu sedang memerhatikannya. Tapi mungkin mainan perasaan takutnya sahaja. Dilihat jam menunjukkan jam 2.35 pagi. “Erm lambat lagi nak subuh”, diletakkan kembali handphonenya di tempat yang sama kembali. Tiba-tiba, ”Hahahaha…Hahahaha..Kalau kau nak kau datanglah sini ambik?”, datang satu suara entah dari mana. Terkejut Raisha dengan suara itu. “Siapa pulak ni”, fikir Raisha dalam hati menambah kegusarannya. Suara ketawa itu masih ada. Sedikit panjang dan tiba-tiba diam kembali. Suasana menjadi sepi semula. Kali ini diberanikan dirinya mengangkat selimut untuk memandang ke arah Rania. Teman sebiliknya.

“Nyenyak je Rania tidur. Tiada tanda-tanda Rania terjaga. Tapi suara tadi sebijik suara Rania. Erm dia mengigau barangkali”. Teka Raisha ingin menyedapkan hatinya. Tiba-tiba bunyi sesuatu dari arah tingkap. “Ketik...ketik…ketik”, beberapa kali seperti ada sesuatu sedang menitip di tingkap. Agak kuat bunyinya. Kali ini Raisha memberanikan diri untuk duduk di atas katil sambil memandang ke arah tingkap. Seperti mendapat kekuatan dan keberanian. “MashaAllah. Tingkap terbuka rupanya. Erm, patutlah rasa sejuk semacam jer, angin pun kuat. Tingkap tak tutup. Erm Rania terlupa lah ni”, teka Raisha lagi tapi hatinya sedikit lega. Bunyi ketip tadi pula datang dari besi pengikat langsir yang terhayun dek angin kuat dan terkena tingkap. Raisha mengemaskan rambutnya yang terurai tapi dibiarkan mengerbang. Raisha bingkas bangun ingin menutup tingkap yang terbuka agak luas. Tiba-tiba…..“Haaaaaaahaaaaahaaaantuuuuu…Toloooongggggg...Tolooongg”, tak semena-mena Rania menjerit. Raisha menoleh ke arah Rania dan terus mendapatkan Rania seperti kerasukkan. “Ran…Ran..akulah Raisha…”, digoncangkan badan Rania beberapa kali. “Tidak…tidak…Kau..Hantu..hantu..pergi..pergi.”, Rania meronta-ronta ingin melepaskan pegangan makhluk yang dilihatnya amat menakutkan. Dengan rambut mengerbang dan baju tidur kelawar yang panjang hingga ke lantai. Raisha cepat-cepat bangun dan menghidupkan lampu untuk menyedarkan Rania.

Terbeliak mata Rania memandang Raisha. Digosok-gosokkan matanya yang tak gatal beberapa kali. “Astagfirullahalaziimmm”, beristigfar Rania bila melihat kelibat yang disangkakan hantu tadi adalah teman sebiliknya. Kebetulan malam itu Raisha mengenakan sesalinan baju tidur kelawar panjang sehingga menutupi kakinya. Sedikit terseret kain hingga ke lantai. Rambut pula dibiarkan mengerbang tidak diikat. Menambahkan lagi kesuraman dalam cahaya kelam-kelam. Pecah ketawa Rania tiba-tiba. “Hampir putus nyawa aku dibuatnya tadi Raisha”, masih berbaki tawa Rania. “Sorry beb. Aku ingat okay je aku macam ni”, jawab Raisha pula tersenyum sambil mengangkat bahu. 

TUNGGU BAB SETERUSNYA APA YANG BERLAKU................................
6:48 PM 27 comments

 Terima kasih kepada sahabat yang kongsikan bait-bait kata puisi di bawah ini. Saya dedikasikan dan kembangkan menjadi sebuah puisi pendek. Di harap sahabat-sahabat berpuas hati. Terima kasih kak Lis Liza, Kak Yati Hashim, Ustaz Ikhwan, Musliha dan Maharani.....Maaf jika tidak menepati. Kerana bait itu menjadi inspirasi untuk terus berkarya.

Dalam bicara kata-kata nan bermakna
 - kak lis

biar hati berbicara
- kak yati

pengorbanan dalam kerebahan
- ihkwan

di ambang kesulitan itu
- mus

lambaian rindu anak gembala
- Maharani


Dalam bicara kata-kata nan bermakna
Kadangkala tak terungkapkan di bibir
Kerana di dalam nurani tersimpan kata itu
Sekadar ingin dicoretkan tapi tidak ingin diluahkan
Kerana bicara itu memberikan tanda
Dan sebagai kiasan pengubat luka
Yang menyembunyikan suatu perasaan


Biar hati berbicara
Rahsianya hanya kita yang tahu
Apa yang sebenarnya berlaku
Jika diungkap akan menghiris kalbu
Kerana pedih luka masih terasa
Biarlah disimpan kemas dalam lipatan
Yang tak mungkin terselak
Selagi tak dibuka
Agar kepedihan itu terus menjadi parut
Yang akan sembuh sendiri


Pengorbanan dalam kerebahan
Berat sangat dirasakan
Menanti saat itu sangat menyakitkan
Ku hampir rebah tapi  kuatkan semangat
Demi pengorbanan itu
Ku tetap gagahkan diri
Ku teguhkan nurani
Ku sematkan  tekad
Untuk terus bangkit
Agar tidah rebah kembali


Di ambang kesulitan itu
Terasa kusut di fikiran
Terasa seksa didada
Tapi kutahankan jua
Ku hanya mampu berserah
Hanya mampu berharap
Agar ia segera pulih
Agar ia segera menjadi mudah
Ku yakin sedikit masa lagi
Hanya tawakal dan redha
Mengiringi langkah lesu dan longlai
Tapi ku amat yakin
Yang di depan sana adalah jalannya
Untuk merungkai kesulitan
Agar menjadi kebenaran


Lambaian rindu anak gembala
Seharian ku termenung
Terkenangkan saat-saat manis dahulu
Ketika itu ku masih kecil
Ku berada di tengah padang rumput
Yang segar dan luas terbentang
Bersama sekumpulan ternakan tenusu sedang berkeliaran
Senang hati dengan kehidupan
Tanpa rasa ragu dan jemu
Aku lah yang keriangan mengejar, berlari ke sana sini
Menyusuri dan bermain lumpur
Menikmati keindahan alam bersama sekelian ternakan bapaku
Tapi segalanya tinggal kenangan
Yang tak mungkin dapat dilupakan
Kerana dewasaku kini ingin mengejar impian
Di mercu kejayaan










7:18 PM 16 comments


 Syukur Alhamdulillah apabila telah mendapat hadiah Saguhati dalam Pertandingan Mencipta Mutiara Kata anjuran RISDA Malaysia pada tahun 2018. Ini adalah percubaan pertama dalam mengetengahkan hasil karya.               Walau bagaimanapun masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki.  Semoga melalui blog ini dapat menghasilkan lebih banyak mutiara kata yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan Blogger. Terima kasih atas sokongan anda semua.

                    


                           "MENYANTUNI BUMI BERTUAH,

                   DEMI MENUAI HASIL YANG MEWAH"

7:21 PM 18 comments




 JATUH DAN BANGKIT KEMBALI




Melalui titian usang
Di bawahnya air sungai yang sedang mengalir lesu 
Untuk ke satu destinasi impian
Rupanya titi sudah dimamah usia
Tanpa diduga tergelincir 
Lalu terjatuh di dalam air itu
Dalam cemas dan kalut
Berusaha menongkah arus untuk ke tepian
Tapi arusnya deras sangat mendebarkan
Mengerah kudrat yang ada
Dengan sekuat tenaga
Agar tidak terus hanyut dek arus deras yang melanda
Yang tadinya air sangat tenang
Arus ganas tiba-tiba datang entah dari mana
Hanya mampu berserah 
Hanya mampu berdoa
Tiba-tiba Allah hadirkan sebatang kayu
Yang lalu betul-betul di depan mata
Mungkin ini adalah penyelamatnya
Di dekati untuk dicapai
Sudah cukup untuk menjadi penahan dari terus hanyut
Perlahan-lahan mengayuh hingga ke tepian
Biar lambat asal selamat
Pepatah yang selalu didengar
Syukur akhirnya dengan rasa sabar, penat lelah dan tawakal
akhirnya sampai ke tepian
Walau dalam kelelahan tapi terasa kepuasan
Selamat akhirnya
Dengan berbekalkan kecekalan dan harapan
Usaha, doa dan tawakal untuk suatu kejayaan









6:51 PM 6 comments

Terkini sedang mencuba genre komedi seram.


Tajuk kalau sesuai akan diteruskan 

"Di sebalik tirai Cantik".

Baru melayari 3 bab. Tapi sudah terasa keseramannya. Cerita ini mengisahkan dua orang sahabat baik merupakan rakan sebilik yang baru kembali semula ke Semester ketiga di sebuah Universiti Awam di Utara tanahair. Raisha dan Rania. Kedua-duanya telah mengenali antara satu sama lain dari Semester pertama lagi dan berkawan baik dan rapat. Tanpa diduga rezeki mereka untuk bersama dalam satu penempatan di dalam semester seterusnya. Namun di malam pertama mereka tidur di bilik itu, seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ditambah lagi kesuraman malam yang agak sejuk dengan angin yang agak kuat pada malam itu. Ada sesuatu yang sedang memerhati dan menganggu. Tetapi keadaan itu lebih dirasai oleh Raisha kerana Rania seperti dapat tidur dengan lena. Berbanding Raisha yang terasa resah gelisah sukar ingin melelapkan mata malam pertama itu.

Untuk mengetahui apa berlaku seterusnya saya akan kongsikan di lain masa. InshaAllah. Kalau sahabat semua ingin tahu seterusnya jangan lupa terus lawati Blog ini selalu. Terima kasih semua. Salam kasih sayang.
6:37 PM 10 comments

Buat aluan kata bermadah,
Awal Bismillah pembuka bicara,
Blog idaman tercipta sudah,
Agar ukhwah terjalin sentiasa.

Tiada kata secantik bahasa,
Hanya madah untuk kiasan,
Marilah teman marilah saudara,
Sambut salam berkongsi pengalaman.

Buah mempelam buah kuini,
Diletak pula di atas peti,
Marilah teman lawati Blog ini,
untuk menikmati hasil karya yang disaji.

Bunga kenangan bunga melati,
Diletak di meja bertambah seri,
Semoga semua berpuashati,
Dengan karya yang dikongsi.

Sekian sahaja pantun mula,
Buat permulaan saya mencuba
Di lain masa akan kembali semula,
Untuk perkongsian yang lain pula.

Terima kasih semua..............
5:10 PM 2 comments


"TIADA KEJAYAAN TANPA USAHA TAPI DENGAN TEKAD DAN KESUNGGUHAN PASTI BERJAYA"

5:02 PM 2 comments
Assallamualaikum wbt dan salam sejahtera semua rakan Blogger yang dikasihi

Bismillahirrohmanirrohim. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah. Dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran Alhamdulillah akhirnya Blog ini tercipta dan dapat direalisasikan dengan baik dan lancar.

Setiap orang mempunyai impian untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diminati. Begitu juga dengan impian yang saya inginkan. Walaupun telah melalui beberapa fasa dan merasa kegagalan, tapi tak pernah kenal erti putus asa dan lelah untuk terus berusaha dengan lebih gigih dan bersemangat. Pegang kata-kata ini "Apabila telah cinta, maka cinta itu akan kekal bersemi selamanya".

Terima kasih kepada Fatin yang banyak membantu merealisasikan Blog ini. Terima kasih atas segala tunjuk ajar dan ilmunya. Dan ucapan terima kasih tak terhingga kepada semua saudara mara, sahabat-sahabat, teman-teman yang telah banyak memberikan sokongan yang tak berbelah bahagi dan setia menanti dengan sabar untuk setiap karya saya yang masih belum tercapai. Walaupun masih menanti tapi tetap setia memberikan sokongan dan dorongan. Maaf jika tak mampu nak menyebut semua nama tapi saya amat menghargai segala sokongan kalian semua. Ini kerana kalian semua tetap dekat di hati saya.

Sebagai insan kerdil, saya masih perlu banyak belajar dan memerlukan bantuan semua untuk sama-sama memberikan idea, pendapat, berkongsi pengalaman dan ilmu di dalam Blog ini. Semogadengan adanya Blog ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kita dan salam perkenalan bagi sahabat dan teman yang baru.

Sampai di sini dahulu salam perkenalan dan langkah permulaan. Semoga di lain masa kita dapat bertemu dan bersama lagi. InshaAllah saya akan berkongsi hasil karya yang terkini selagi Allah pinjamkan sedikit bakat ini.

Sekian, salam kasih sayang semua.
3:08 PM No comments

Hari ni nak bermadah pujangga yg dh lama x dipraktikkan.Hanya kiasan semata2

BUNGA-BUNGA CINTA
Cintakan bunga,  bunga akan layu
Cintakan manusia, manusia akan mati
Cintakan harta,  harta akan habis
Cintakan dunia,  dunia akan berakhir
Cintakan agama,  hidup akan sentiasa diberkati
Cintakan Allah, Ia kekal selamanya...
CINTA...
Kuatnya penanganmu
Jiwa tak tenteram keranamu
Jiwa jadi keluh kesah
Jiwa merana jika terpisah
Jiwa merindu setiap masa
Tak tertahan dek kerana cinta
Ingin sahaja terbang terus ke sana
Agar segera bertemu bertentang mata
Walau ada halangan dan liku
Kerana akan dituruti hati
Agar apa yang dihajati
Menjadi nyata
CINTA...
Hadirmu kadangkala tidak diduga
Kadangkala tidak dipaksa
Kadangkala tiba-tiba
kadangkala seperti diminta
Kadangkala berpura-pura
Kadangkala terpaksa
Kadangkala tak sengaja
CINTA...
Jika dah ditentukan jodohnya
Tiada yang dapat mengubahnya
Walau terputus dan hilang entah ke mana
Tiba-tiba muncul untuk bersatu kembali
Jodoh tidak mengira siapa
Tua muda tinggi rendah putih hitam kaya miskin
CINTA...
Bila bersama seperti di Syurga sementara
Bahagia kadangkala seketika
Kadangkala dilanda badai
Kadangkala ada sengketa
kadangkala ada duka dan lara
Kadangkala ada air mata
Kadangkala bermuram durja
Semuanya kerana penangan cinta
Kerana itu Cinta diistilahkan buta
Cintalah dengan seikhlasnya dan sejujurnya
Itulah cinta sejati

-tamat-
9:42 AM 4 comments
Newer Posts

Total Pageviews

About me


Eisha Erisha

Followers

My Artwork



Follow Us

Labels

Disebalik Tirai Cantik FULL NOVEL PENDEK GENRE SERAM GENRE SERAM MADAH KATA Mutiara Kata NOVEL NOVEL CINTA NOVEL LOVE STORY NOVEL PENDEK GENRE SERAM NOVEL TERBARU NUKILAN NUKILAN RASA NUKILAN UNTUK PEMBACA Pantun PERKONGSIAN RASA Puisi PUISI CINTA SEKADAR NUKILAN SIRI SERAM BAB 1 UCAPAN HARI RAYA UNTAIAN PUISI VIDEO

recent posts

Blog Archive

  • ►  2024 (1)
    • ►  October (1)
  • ►  2022 (1)
    • ►  July (1)
  • ►  2020 (5)
    • ►  June (2)
    • ►  March (1)
    • ►  February (2)
  • ▼  2019 (62)
    • ►  November (2)
    • ►  October (2)
    • ►  August (4)
    • ►  July (3)
    • ►  June (2)
    • ►  May (2)
    • ►  April (4)
    • ►  March (9)
    • ►  February (24)
    • ▼  January (10)
      • PUISI
      • BAB 1
      • PUISI
      • MUTIARA KATA
      • PUISI
      • NOVEL PENDEK
      • PANTUN MULA PERKENALAN
      • MUTIARA KATA
      • SALAM PERKENALAN
      • PUISI
Powered by Blogger.

Created with by ThemeXpose
Edited by Cik Kumbang