BAB 1 HINGGA 13 - DI SEBALIK TIRAI CANTIK

by - 9:44 PM


 Assallamualaikum dan selamat malam semua sahabat Blogger eishaeirsha yang masih setia dengan karya-karya dalam blog ini. Saya ingin memudahkan pembaca semua untuk membaca terus dari Bab 1 hingga Bab 13 terakhir novel pendek genre seram bertajuk 
DI SEBALIK TIRAI CANTIK agar dapat membaca dengan lebih selesa dan santai. Bagi yang belum berpeluang untuk membaca cukup di ruangan ini boleh membaca keseluruhan cerita. Selamat membaca dan terima kasih meluangkan sedikit masa anda.




BAB 1

Sukarnya mata ni nak dilelapkan. Erm malam pertama selalunya memang macam ni. Tapi apa nak ditakutkan. Mulut Raisha terkumat kamit tak henti-henti membacakan ayat-ayat suci Al Quran yang dihafalnya. Waktu-waktu begini kadang-kala hanya terbaca apa yang terlintas di fikiran sahaja. Dan  bila dalam ketakutan kadang-kadang ayat yang dah dihafal tak sempurna bacaannya. Peluh hangat mengalir deras  dirasakan. Sejuk sahaja dahinya terasa. Kipas berputar laju. Rasanya kipas hanya di titik ketiga tapi kelajuannya terasa sedikit ganjil. Raisha berselindung di balik selimutnya. Satu badan ditutup dengan selimut tebal itu. Ditutup rapat kedua telinganya dengan lengannya. Biar tidak kedengaran apa-apa bunyi yang mencurigakan. Mungkin berkat memakai selimut pemberian ibunya untuk bekalannya sepanjang pengajian. “Terima kasih ibu”, sempat Raisha menitipkan ucapan terima kasih kepada ibunya.


“Hah simpan elok-elok selimut ni. Ibu tahu kat sana nanti kamu akan dibekalkan dengan selimut juga. Tapi ibu tahu mesti tak cukup untuk habit kamu tu nanti. Yelah anak ibu ni kalau tidur tak berselubung tak sahkan”, kata Ibu mengingatkan Raisha tentang habitnya. Raisha hanya tersenyum simpul dengan kata-kata ibunya. “Perli atau nasihat?”, bisik Raisha dalam hati tapi tidak merasa marah pun dengan kata-kata ibunya. Kerana apa yang dikatakan ada benarnya.


“Aduhai hatinya masih tak keruan. Tak tenteram. Bacaan ayat suci Al Quran tetap diteruskan. Biarlah sehingga dia tertidur sendiri akhirnya. Selalu begitulah kesudahannya. “Sudah jam berapa sekarang ni”, detik hati Raisha. Diberanikan diri untuk menyelak selimutnya perlahan-lahan dan dicapai handphone. Kedudukan handphone memang dekat di hujung kepalanya. Sengaja diletakkan di situ agar mudah untuk dia mematikan alarm jam bila berbunyi nanti. Tak berani Raisha mengangkat kepala nak melihat sekeliling. Terasa seperti ada sesuatu sedang memerhatikannya. Tapi mungkin mainan perasaan takutnya sahaja. Dilihat jam menunjukkan jam 2.35 pagi. “Erm lambat lagi nak subuh”, diletakkan kembali handphonenya di tempat yang sama kembali. Tiba-tiba, ”Hahahaha…Hahahaha..Kalau kau nak kau datanglah sini ambik?”, datang satu suara entah dari mana. Terkejut Raisha dengan suara itu. “Siapa pulak ni”, fikir Raisha dalam hati menambah kegusarannya. Suara ketawa itu masih ada. Sedikit panjang dan tiba-tiba diam kembali. Suasana menjadi sepi semula. Kali ini diberanikan dirinya mengangkat selimut untuk memandang ke arah Rania. Teman sebiliknya.


“Nyenyak je Rania tidur. Tiada tanda-tanda Rania terjaga. Tapi suara tadi sebijik suara Rania. Erm dia mengigau barangkali”. Teka Raisha ingin menyedapkan hatinya. Tiba-tiba bunyi sesuatu dari arah tingkap. “Ketik...ketik…ketik”, beberapa kali seperti ada sesuatu sedang menitip di tingkap. Agak kuat bunyinya. Kali ini Raisha memberanikan diri untuk duduk di atas katil sambil memandang ke arah tingkap. Seperti mendapat kekuatan dan keberanian. “MashaAllah. Tingkap terbuka rupanya. Erm, patutlah rasa sejuk semacam jer, angin pun kuat. Tingkap tak tutup. Erm Rania terlupa lah ni”, teka Raisha lagi tapi hatinya sedikit lega. Bunyi ketip tadi pula datang dari besi pengikat langsir yang terhayun dek angin kuat dan terkena tingkap. Raisha mengemaskan rambutnya yang terurai tapi dibiarkan mengerbang. Raisha bingkas bangun ingin menutup tingkap yang terbuka agak luas. Tiba-tiba…..“Haaaaaaahaaaaahaaaantuuuuu…Toloooongggggg...Tolooongg”, tak semena-mena Rania menjerit. Raisha menoleh ke arah Rania dan terus mendapatkan Rania seperti kerasukkan. “Ran…Ran..akulah Raisha…”, digoncangkan badan Rania beberapa kali. “Tidak…tidak…Kau..Hantu..hantu..pergi..pergi.”, Rania meronta-ronta ingin melepaskan pegangan makhluk yang dilihatnya amat menakutkan. Dengan rambut mengerbang dan baju tidur kelawar yang panjang hingga ke lantai. Raisha cepat-cepat bangun dan menghidupkan lampu untuk menyedarkan Rania.


Terbeliak mata Rania memandang Raisha. Digosok-gosokkan matanya yang tak gatal beberapa kali. “Astagfirullahalaziimmm”, beristigfar Rania bila melihat kelibat yang disangkakan hantu tadi adalah teman sebiliknya. Kebetulan malam itu Raisha mengenakan sesalinan baju tidur kelawar panjang sehingga menutupi kakinya. Sedikit terseret kain hingga ke lantai. Rambut pula dibiarkan mengerbang tidak diikat. Menambahkan lagi kesuraman dalam cahaya kelam-kelam. Pecah ketawa Rania tiba-tiba. “Hampir putus nyawa aku dibuatnya tadi Raisha”, masih berbaki tawa Rania. “Sorry beb. Aku ingat okay je aku macam ni”, jawab Raisha pula tersenyum sambil mengangkat bahu.


BAB 2

“Eh beb. Malam tadi apa yang kau buat kat tingkap tu”, tanya Rania sambil menyuap nasi ke dalam mulut. Kisah tengah malam tadi belum habis. “Entahlah malam tadi aku tak boleh tidur. Rasanya terlelap tak lama aku terjaga sebab malam tadi terasa sangat sejuk. Rupanya tingkap terbuka luas. Aku pun bangunlah nak tutup tingkap tu, baru berapa langkah belum sempat nak tutup dah kau menjerit hantu, hantu, terkejut aku dibuatnya”, cerita Raisha sambil menahan ketawa. Rania berhenti makan. “Mananya tak menjerit, dah kau pun memang macam hantu. Dengan rambut mengerbang baju pulak panjang cecah lantai”, jawab Rania ingin pertahankan apa yang dia lihat tapi tetap menahan ketawa.  “Tapiiiiiiii, sekejap. Kau kata tingkap terbuka. Malam tadi siapa tidur dulu?”, tanya Rania ingin kepastian. “Aku kan”, Rania bertanya dan menjawab soalan sendiri belum sempat Raisha berikan jawapan. Raisha hanya menganggukkan kepala sambil makan. “Kau tutup tingkap ke?”, Rania masih menimbulkan persoalan. “Erm…Tak ada”, jawab Raisha selamba sambil menyuap nasi. Tidak semena-mena, kedua-duanya saling berpandangan kehairanan dan sedang memikirkan sesuatu serentak. “So…kalau bukan kita, siapa? Macamana tingkap tu boleh terbuka”, kata Rania yang masih belum berpuashati kerana belum ada jawapan yang pasti.


 Seingat mereka berdua sejak masuk ke bilik itu tengahari semalam sama ada Raisha atau Rania masing-masing tidak pergi ke tingkap itu. Tapi suasana seperti biasa tiada tanda-tanda kalau tingkap itu terbuka. Kerana masing-masing sibuk mengemaskan barang-barang tanpa perasaan akan tingkap itu. Yang pasti tingkap itu ditutupi dengan sepasang langsir yang sangat cantik dan bersih. Tapi sama ada Raisha atau Rania tidak memikirkan sangat tentang hal tingkap itu kerana mereka masih baru di bilik itu. Dan fokus mereka hanya ingin mengemaskan barang-barang. Selepas sesi mengemas hampir selesai kedua-duanya terus keluar untuk makan malam dan balik selepas jam 9.00 malam. Dan kerana keletihan masing-masing terus tertidur. Macam-macam mula bermain di fikiran Raisha dan Rania. Hanya tentang tingkap.


 KIsah tingkap terhenti di situ. Raisha mengalihkan persoalan. “Erm Ran, kita solat dulu baru masuk kelas ye”, Raisha mengingatkan untuk solat Zuhor sebelum masuk ke kelas semula. Rania bangun dan mengekori Raisha. Tiada sepatah kata sepanjang perjalanan menuju ke surau. “Aamiinn. Aamiin. Ya Rabbal Aalaaminn. Alhamdulillah”, tenang rasa hati bila dah selesai solat. Raisha memandang ke arah Rania. Rania masih belum habis solat kerana sedang berdoa. Raisha bangun dan mengemaskan telekong dan diletakkan semula di tempatnya. “Hai Raisha. Dah nak pergi ke kelas ke. Betul tak kul 2.00 ni kelas Pengantar Bahasa Melayu. Kita sekelas kan”, tiba-tiba Raisha di sapa seseorang dengan beberapa pertanyaan bertalu-talu. Ditolehnya seseorang yang dikenalinya. Rakan sekampus. “Eh awak, Fatehah ingatkan siapa tadi. Iyelah kita kan sama course. Banyak kelas yang sama kan”, jawab Raisha menyiakan acuh tak acuh. “Erm boleh tak saya sekali dengan awak. Lagipun kat kampus ni saya tak ramai kawan yang saya kenal”, pinta Fatehah dengan membuat muka sedih. “Owh boleh apa salahnya. Saya pun berdua je dengan Rania. Kalau awak selesa dengan kami apa salahnya”, jawab Raisha ikhlas menerima. Gembira Fatehah dengan sambutan baik dan penerimaan dari Raisha.


 “Hah, kenapa ni?”, tanya Rania agak keras. “Eh…saya…saya”, jawab Fatehah tergagap-gagap kerana terkejut. Rania orangnya sedikit garang tapi dia seorang yang baik hati. “Apasal tergagap-gagap pulak ni”, sergah Rania lagi dengan muka agak serius. “Macam ni, Fatehah nak joint kita sekali. Boleh kan”, lembut nada suara Raisha cuba mempertahankan Fatehah. Rania membesarkan matanya ke arah Fatehah. Tapi Fatehah hanya tertunduk tak berani bertentang mata dengan Rania. Terkejut Raisha dengan sikap Rania tapi dibiarkan sahaja apa respon seterusnya. “Owh ingatkan ada apa cakap sambil bisik-bisik manalah tahu tengah mengumpat aku kan. Erm aku okay jer”, kali ini perlahan sahaja suara Rania mengundang gelak tawa dari Raisha dan Fatehah hanya tersenyum tawar.  Pada masa yang sama Rania menghulurkan tangannya kepada Fatehah. Cepat-cepat disambut oleh Fatehah dengan rasa gembira. Fatehah yang tadi berasa takut kini berasa lega. Cuma dia  tak menyangka jika Rania sudi terima dirinya juga. Ini kerana kedua-dua sahabat baik itu antara student terbaik dan mempunyai personaliti yang sangat menarik. Kedua-duanya juga mempunyai paras rupa yang sangat cantik. Memang berbeza dengan dirinya. Tapi Fatehah bersyukur masih ada yang sudi untuk berkawan dengannya. “Dah solat?”, tanya Raisha kepada Fatehah. “Sudah-sudah”, jawab Fatehah dengan yakin, “Sebenarnya aku  memang menunggu korang berdua habis solat tadi”, jawab Fatehah tanpa ragu-ragu lagi. “Kalau semua dah selesai jom kita masuk kelas”, ajak Raisha.


“Siapa rakan sebilik kau  semester ni Fatehah?”, tanya Rania. Mereka bertiga duduk sebaris dalam kelas. “Aku sebilik dengan Julia. Tapiiii...”, tiba-tiba kata Fatehah terhenti. “Raisha dan Rania saling berpandangan. “Kenapa dengan Julia?”, hampir serentak pertanyaan Raisha dan Rania. “Dia tu pelik sikit. Suka menyendiri. Tak banyak cakap. Tak pernah nak senyum dengan aku walaupun kami sebilik”, kata Fatehah sambil menekup mulut tak mahu didengari oleh student yang lain. “Hissss kau ni Fatehah. Kau kan baru kenal dengan dia. Sebilik pun baru satu hari dah boleh baca ke dia macamana?”, tanya Rania lagi sambil tertawa sinis. “Memanglah. Semester ni baru lagi dan kebetulan sebilik tapi aku dah kenal dia lama dah sejak semester satu lagi. Cuma nasib akulah dapat sebilik dengan dia”, jawab Fatehah seperti kurang gembira. “Korang nak tahu, bila dia tahu aku rakan sebiliknya dia sanggup turun naik office mintak tukar. Dia nak jugak sebilik dengan kawan baiknya Si Manira gedik tu. Tapi HEP tak layan. So sekarang aku kenalah kekal sebilik dengan dia untuk semester ni. Bersabar jelah”, nada suara Fatehah agak kurang gembira. “Erm tak apalah Fatehah, enam bulan je bukan lama sangat pun. Lagipun kitaorang kan ada”, pujuk Raisha. “Terima kasih korang sudi nak berkawan dengan aku”, ucap Fatehah gembira. Tak lekang senyuman di bibirnya menandakan dia sangat gembira. “Small matter lah”, jawab Rania sambil petik jari. “Kalau dia buli kau cepat-cepat info kat kitaorang, taulah macamana nak ajar nanti”, kata Rania beriya. “Nanti kalau kau boring-boring pulak, lepaklah bilik kitaorang. Okay jerkan Rania”, pelawa Raisha pula. “Betul ker?”, tanya Fatehah semakin teruja. “Yer….”, Rania menyiakan sambil menganggukkan kepala. Rania hanya diam tapi ekor matanya memandang ke arah Fatehah yang sedang teruja. Terdiam Fatehah dengan pandangan Rania. “Sorry…..”, kata Fatehah yang berasa dirinya agak over tadi.

 

BAB 3

“Erm baru minggu pertama dah ada assignment. Baru nak berjimba-jimba”, rungut Rania. “Tapi bagus jugak. Sekurang-kurangnya kita dah mula sibuk. Nanti dah akhir-akhir semester kurang sikit homeworknya coz tinggal focus final exam jer”, Raisha lebih berfikiran positif dari Rania. “Errrrmmmm yelah”, akur Rania dengan kata Raisha. “Kita pergi makan malam siap-siap. Nanti dah tak payahlah nak keluar lagi. Macam letihlah hari ni”, cadang Rania tapi seperti merungut. “Samalah aku pun rasa macam tu jugak. Jomlah pergi sekarang”, ajak Raisha untuk turuti cadangan Rania. “Eh mana Fatehah. Habis kelas tadi aku cari dia tak nampak bayang. Ingat nak ajak makan malam sekali”, tanya Raisha mencari Fatehah. “Ha ahlah, erm tapi mungkin dia ada hal kot”, fikir Rania pula. Dalam perjalanan ke Kafeteria mereka akan melalui sepohon pokok mempelam yang lebat buahnya berdekatan dengan Bilik Kuliah B.  “Eh Raisha cuba kau tengok tu, bukan ke tu Julia. Roomate Fatehah”, di bawah pokok mempelam terlihat kelibat Julia berdiri seorang diri. “Apa dia buat kat situ. Hari pun dah hampir senja ni”, bebel Raisha. “Eh biarkanlah dia. Mungkin ambil angin. Atauuuuu mungkin tengah tunggu kawan dialah kot”, jawab Rania endah tak endah. “Yelah tapi macam pelik pulak ambil angin waktu begini. Sorang-sorang pulak tu”, bebel Raisha sendiri tapi ekor matanya masih memandang ke arah pokok mempelam itu dan Julia. “Apa dia buat kat situ erk”, kata Raisha dalam hati masih belum berpuashati dengan apa yang dilihatnya.


Di kaferia Raisha dan Rania sudah duduk mengadap makanan yang dipesan. “Sedapnya makanan kat kafe ni kan. Harga pun berpatutan”, kata Raisha sambil menikmati nasi berlaukan ayam masak merah, telur masin separuh dan sayur kobis goreng. Air pula teh o ais limau masam. “Ada lagi yang kau lupa”, kata Rania. “Eh ada ke, apa dia”, tanya Raisha ingin tahu. “Tu hah, ada abang pembuat air yang hensem lagi sado. Air yang kita minum ni rasanya sangat sedapkan, lupa ye”, sambil Rania memuncungkan mulutnya menunjuk ke arah tempat membuat air. “Ewah gatal eh”, cepat je jari Raisha hinggap ke lengan Rania. “Aduhh sakitlah”, jerit Rania sedikit kuat. Abang sado pembuat air pantas memandang kedua-duanya disebabkan jeritan Rania agak kuat. Tapi dia hanya tersenyum sahaja melihat gelagat dua orang student itu. Raisha dan Rania tersipu malu walaupun abang sado tak kenal mereka.


Tiba-tiba kelibat Julia lalu di depan mereka. Sempat Julia menjeling ke arah mereka berdua sekali imbas. Terdiam Raisha dan Rania. Saling berpandangan. “Ran…kau perasan tak apa yang aku nampak?”, suara Raisha agak perlahan dan sedikit bergetar. Rania hanya mampu menganggukkan kepalanya. “Pelik. Baju dia lain. Tak sama dengan Julia yang di bawah pokok mempelam tadi kan”, terang Raisha lagi. Rania masih membisu tapi hanya menganggukkan kepalanya. “Cepatnya dia salin pakaian?”, Raisha terus berandaian. “Hai korang”, tiba-tiba mereka berdua di sapa Fatehah. Agak kuat suara Fatehah. “Hisss kau ni Fatehah. Buat terkejut jer lah. Dari tadi kitaorang cari kau tau. Tiba-tiba hilang dan tiba-tiba muncul”, tapi Fatehah hanya tersengih. “Sorrylah, tadi aku sakit perut sangat memulas-mulas. Tu yang cepat-cepat lepas kelas terus balik bilik. Eh korang dah abis makan ke”, terang Fatehah sambil meletakkan beg sandangnya di atas kerusi. “Dah. Tapi kalau kau nak kitaorang tunggu boleh je kitaorang temankan kau makan”, pelawa Raisha. “Eh betul ke. Okay-okay, tunggu tau”, sepantas kilat Fatehah pergi ke kaunter untuk membuat pesanan makanan dan minuman.


“Tadi kau kat bilik sorang ke?”, tanya Raisha ingin kepastian. “Eh taklah. Aku sampai bilik je Julia dah ada dalam bilik. Tapi dia baring je sambil menghadap handphone. Biasalah berwhatsap lah kot atau layan instragram. Tapi masa aku nak keluar, tersaing dengan dia. Tapi biasalah dia mana nak jalan dengan aku. Tu dengan kawan dia Manira”, terang Fatehah lagi sambil menunjuk ke arah Julia sedang duduk di meja sebelah sana sambil berbual rancak dengan Manira. Raisha dan Rania berpaling ke arah Julia sepintas lalu. Tiada yang pelik. “Eh kenapa korang tanya pasal dia pulak erk”, tanya Fatehah agak pelik. “Errr…errr tak ada apalah. Saje tanya”, jawab Raisya cuba menyembunyikan sesuatu. “Kalau Julia ada di bilik dengan Fatehah, siapa kelibat yang dia dengan Rania nampak di bawah pokok mempelam tadi. Baju yang dipakai juga tak sama?”, Raisha cuba mencari-cari di sebalik persoalan. Perlahan saja suara Raisha. “Kau cakap apa Raisha?”, tanya Fatehah yang mendengar Raisha berkata-kata sendirian tapi tidak jelas kedengaran. “Eh..tak ada apalah”, Raisha cuba mengelak lagi. Rania hanya memandang Raisha yang agak kurang selesa. Rania juga pelik dan punya persoalan sama dengan Raisha. Tapi kenapa Julia memandang tajam ke arah mereka tadi. Persoalan demi persoalan masih bermain di minda Raisha dan Rania. Persoalan malam tadi di bilik masih belum temui jawapan dah datang lagi persoalan yang lain.


BAB 4

“Arrrggghhh leganya badan”, Rania membaringkan badannya di atas katil. “Aku mandi dulu. Melengas dah badan ni”, pinta Raisha tanpa memandang ke arah Rania yang sedang leka berbaring. Rania tidak menjawab sapaan Raisha. “Eh, mana Raisha tiba-tiba hilang”, Rania tertanya sendiri. "Bukan ke tadi Raisha masuk bilik terus berbaring atas katil. Takkanlah nak keluar pun tak bagitau". Fikir Rania pelik. Ekor mata Rania terpandang ke arah tingkap. “Erm, Raisha ni dah malam takkanlah nak bukak tingkap lagi. Nanti malam membebel tingkap tak tutup lah, apalah”, bebel Rania sendiri. Baru Rania bangun dan melangkah setapak ingin menutup tingkap, tiba-tiba ada satu suara dari belakang. “Biarlah tingkap itu terbuka. Nanti ia akan tertutup sendiri’, halus sahaja suara itu. Tapi tidak dapat dicam suara itu kerana belum pernah didengar sebelum ini. Yang pasti bukan suara Raisha. Cepat-cepat Rania menoleh ke belakang kerana ingin melihat siapa yang berkata-kata. Tiada siapa. Kosong. Kelibat Raisha pun tidak kelihatan kerana pintu tertutup rapat. Di pandang semula ke hadapan. “Aik..Tingkap tertutup dah”, Rania terasa bulu romanya meremang. “Apakah….”, kaki Rania seperti tergam tidak boleh bergerak. Tiba-tiba pintu dibuka. “Eh Ran…Apa kau buat tercegat kat situ. Arrgghh segarnya dah mandi”, selamba Raisha menegur Rania tanpa rasa curiga. Cepat-cepat Rania mencapai tuala dan menarik tangan Raisha. Kakinya yang tadi terasa seperti digam tidak boleh bergerak tiba-tiba kembali normal. “Raisha temankan aku mandi”, bergetar suara Rania. Raisha yang terpinga-pinga hanya menuruti tarikan tangan Rania.


“Peliklah Rania ni”, sambil ekor mata Raisha memandang ke arah Rania tapi hanya mengikuti Rania hingga ke bilik air. “Erm sejak bila pergi bilik air ni nak berteman bagai”, selamba Raisha bersuara. Rania yang sedang menggosok gigi hanya menjeling tajam ke arah Raisha. Tapi Raisha tidak diperdulikan kerana dia hanya ingin menyakat Rania. Raisha menyanyi-nyanyi perlahan bersandar di dinding sementara menunggu Rania masuk ke dalam bilik mandi. Bunyi air dibuka dan deras. Mesti Rania sedang mandi dengan penuh kusyuk.


Beberapa saat terlihat kelibat Sarlene dan Adira masuk ke dalam bilik air. Berjalan melintasi Raisha yang sedang berdiri menyandar di tepi dinding. “Diorang baru nak mandi barangkali”, teka Raisha dalam hati. Raisha hanya tersenyum memandang ke arah mereka. Sarlene dan Adira juga membalas senyuman itu. Tiada kata dari kedua-duanya. Masing-masing terus masuk ke dalam bilik mandi. Sarlene dan Adira penghuni biilik sebelah bila mereka. Mereka berlainan course tapi mereka sudah saling mengenali tapi jarang berbual. “Ran, aku nak balik bilik kejap. Terlupa pulak nak sidai baju tadi”, kata Raisha terus beredar sambil mengetuk bilik air tempat Rania masuk tadi.



“Raisha..Raisha…Aiiii..Mana Raisha ni? Erm sabar jelah. Boleh dia tinggalkan aku sorang”, geram Rania rasakan. Cepat-cepat Rania berjalan menuju ke biliknya. “Ewah-ewah senang hati jerk kau ye. Kan aku suruh tunggu tadi”, bebel Rania tak puashati kerana ditinggalkan oleh Raisha seorang diri di bilik air. “Sorry Ran. Tadi aku terlupa sidai baju karang sampai esok pagi tak bersidai”, Raisha memberikan alasan. Tapi tadi sebelum aku pergi ada Sarlene dan Adira sedang mandi. Jadi aku ingatlah mesti kau ada kawan mandi”, terang Raisha lagi bersahaja sambil membaca novel terbaru. “Yelah aku tahu kau dah tak sabar nak baca novel tu kan”, geram Rania masih berbaki. Raisha hanya tersenyum simpul. “Masa aku keluar dari bilik mandi aku sorang je. Tak ada sesiapapun”, kata Rania ingin mengingatkan Raisha kerana alasannya tidak benar. Mesti Raisha hanya mengadakan cerita buat Rania tidak berasa takut. Raisha menandakan tempat last di baca. “Kejap….”, Raisha bingkas bangun terus menuju ke bilik air. “Nak ke mana pulak tu”, jerit Rania sambil menggelengkan kepalanya.



Di buka pintu bilik air tempat yang Sarlene dan Adira masuk tadi. Kering. Tiada tanda-tanda baru digunakan. Tapi di bilik mandi tempat Rania mandi masih basah seperti baru lepas digunakan. Raisha cepat-cepat pergi ke bilik Sarlene dan Adira. Diketuk beberapa kali. Tiada jawapan dan senyap seperti tiada penghuninya. Di hujung corridor terdengar perbualan. Raisha terpandang datangnya suara. Sarlene dan Adira sedang jalan bergandingan sambil berbual-bual dan sesekali pecah tawanya. Dari mana pulak mereka, bukan ke baru sebentar tadi Raisha bertemu mereka berdua di dalam bilik air.  “Eh Raisha ada nak jumpa kitaorang ke”, tegur Sarlene bila melihat Raisha sedang berdiri kaku di depan bilik mereka. “Ehh….korang baru balik ke?”, tanya Raisha sedikit getar. “Ha ah. Tadi lambat pergi library dulu. “Jom masuk dulu”, pelawa Adira. “Eh,  tak ada apalah. Aku saja tadi ingat korang ada dalam bilik.  Lain kali je la. Okay aku pergi dulu”, Raisha meminta izin beredar. Sarlene dan Adira hanya memandang dengan senyuman dan terus masuk ke dalam bilik. Sambil berjalan sempat Raisha menoleh ke arah Sarlene dan Adira. Memang benar mereka baru balik. Tapi siapakah yang dia jumpa di bilik air tadi. Aku tinggalkan Rania seorang diri dengan mereka. Mestilah mereka bukan Sarlene dan Adira. Maafkan aku Rania. Nasib baik tiada perkara buruk berlaku. Raisha hanya masuk ke dalam bilik tanpa sepatah kata yang keluar. Kalau boleh dia ingin rahsiakan segala misteri yang berlaku ini dari Rania. Mungkin buat sementara ini. Semakin hari ada sahaja kejadian pelik dan misteri yang berlaku.


BAB 5

Raisha masuk ke dalam bilik dan duduk di atas katil. Diam tiada kata. Memandang ke arah Rania yang sedang melipat pakaiannya. “Ke mana tadi? Kau ni macam chipmore dah aku tengok”, seluroh Rania sambil sekilas memandang Raisha yang duduk membatu. “Tak adalah aku pergi bilik air tadi nak terkucil dah tak tahan”, Raisha cuba menyembunyikan sesuatu. Raisha mencapai semula novel yang baru dibelinya. Ingin menyambung semula yang terhenti tadi. “Malam ni kan malam jumaat. Elok kalau kita baca Yassin lepas solat Maghrib nanti”, cadang Rania. Raisha mengangkat kepalanya memandang ke arah Rania. Di tutup novelnya yang baru nak dibaca. “Bagus cadangan tu. Okay-okay. Lagipun…….”, kata-kata Raisha terhenti. Matanya memandang ke segenap sudut bilik mereka. Matanya terhenti di tingkap yang ditutupi dengan langsir yang cantik itu.

Tidak semena-mena terasa bulu romanya seperti berdiri tiba-tiba. Rania memandang ke arah Raisha kehairan. “Tapi apa?”, tanya Rania ingin penjelasan. “Suka sangat ayat tergantung bila bercakap kan”, bebel Rania. “Kita mungkin lupa nak beri salam masa masuk bilik ni tempohari”, jelas Raisha. Rania seperti dapat menangkap maksud kata-kata Raisha. Rania akur. “Yup, mungkin”, jawab Rania pendek. Azan sudah berkumandang menandakan telah masuk waktu Maghrib. Raisha dan Rania sepantasnya mengambil wuduk dan  menunaikan solat Magrib diikuti bacaan Yassin dan tahlil. Mereka menunggu sehingga selesai solat Isyak. Agar tenang jiwa mereka dan mudah-mudahkan yang mengganggu sejak malam semalam akan berakhir.

“Alhamdulillah. Tenang rasanya”, kata Rania kepada Raisha. “Betullah. Mudah-mudahan. Niat kita pun ingin menuntut ilmu. Semoga kita semua dijauhkan dari perkara-perkara yang tidak baik”, doa Raisha. Tetapi baru sahaja Raisha dan Rania berasa tenang. “Tok..Tok..Tok…”, Tiba-tiba pintu diketuk beberapa kali. Kuat juga ketukannya. Raisha dan Rania saling berpandangan kehairanan. Terkejut pun ada. “Siapa pulak datang malam-malam ni”, bebel Rania sambil bingkas bangun kerana kedudukannya lebih hampir dengan pintu. Raisha hanya memandang. “Kriukkk……”. Pintu di buka perlahan. Kosong. Tiada sesiapa di muka pintu. Rania memberanikan diri ingin menjengah keluar. Kosong sahaja di kiri dan di kanan koridor. Tiada kelibat sesiapapun yang kelihatan. Suasananya sunyi sepi. Cepat-cepat Rania menutup pintu kembali dan terus mengunci pintu. Jantungnya berdegup laju. Mukanya sedikit pucat seperti sedang ketakutan. “Siapa?”, tanya Raisha. Rania yang rasa badan seperti seram sejuk hanya menjungkitkan bahunya. Tapi Raisha tidak memandang ke arah Rania. Misteri itu datang lagi.  “Erm masih nak main-main lagi”, kata Raisha spontan tapi rileks sahaja seperti tiada apa-apa berlaku. Rania hanya diam membisu dan terus duduk di katilnya. Peluh turun dengan laju dapat dirasakan dahinya. Tapi Raisha selamba sahaja meneruskan membaca bab seterusnya novel bertajuk Jika Cinta itu Pergi tanpa menghiraukan Rania sedang dalam ketakutan. Kerana Raisha rasa lebih kecewa kerana bacaannya asyik terhenti. Tiada feeling ingin meneruskan bacaan. “Huaawah”. Raisha menguap beberapa kali. Terasa mengantuk tiba-tiba. Dipandangnya Rania. “Ran, kau okay tak ni?”, tanya Raisha yang baru terperasan keadaan Rania. “Erm..okay-okay. Cuma terkejut je tadi”, jawab Rania dah kembali normal.

“Assallamualaikum….”, ada suara memberi salam diikuti dengan ketukan di pintu beberapa kali. Tak sampai berapa minit sebentar tadi ketukan tanpa orang, mereka didatangi oleh suara memberi salam pula. Misteri tadi belum terungkap tapi seperti ia datang kembali. Rania memandang ke arah Raisha seperti memberikan isyarat giliran Raisha pula membuka pintu. Tapi Rania turut bangun untuk bersama-sama Raisha. “Bismillahirrohmanirrohim…..”, sempat Raisha membaca Bismillah. Matanya ditutup rapat kerana tak berani melihat apakah yang akan berada di depannya nanti. Rania hanya berdiri di belakang sambil berpaut di bahu Raisha. “Kriukkk”. Sekali lagi pintu dibuka perlahan. Raisha membuka matanya. Terbeliak matanya apabila yang di depannya Julia. Raisha dan Rania saling berpandangan. Julia hanya menghadiahkan sebuah senyuman yang manis. Berbeza dengan Julia yang mereka jumpa di Kafetaria siang tadi. Muka yang masam sambil menjeling. “Ada apa pula Julia datang malam-malam begini”, fikir Raisha dalam hati.

 “Maafkan saya jika menganggu awak berdua malam-malam begini”, lembut sahaja suara Julia. “Eh…Tak mengapa. Ada apa ye. Awak Julia kan?”, tanya Raisha. Julia hanya menganggukkan kepalanya menyiakan pertanyaan Raisha. “Sebenarnya saya nak pulangkan ini kepada awak Rania”, Julia menghulurkan satu bungkusan kepada Rania. Cepat-cepat Rania ke hadapan sambil menyambut bungkusan yang dihulurkan oleh Julia. Rania terpinga-pinga. “Barang apa pulak ni. Owh…dah sampai”, Rania baru teringat dia ada shopping di Shoppe seminggu yang lalu sebelum balik ke kampus lagi. Tapi bagaimana boleh sampai di tangan Julia pula. “Eh terima kasih Julia”, ucap Rania hampir terlupa. “Sama-sama. Saya beredar dulu ye”, Julia dengan suara yang lembut meminta diri. Belum sempat Rania ingin bertanya lebih lanjut, Julia bergegas ingin pergi. Mata Raisha dan Rania mengekori kelibat Julia sehingga hilang dari pandangan. “Hei beb. Perasan tak baju dia. Itu Julia yang kita nampak di bawah pokok mempelam”, Raisha mengingati peristiwa petang tadi. Cepat-cepat Raisha tutup semula pintu dan dikunci. Seperti terketar tangan Raisha tiba-tiba. “Aduhai kenapa baru beberapa hari macam-macam peristiwa pelik dah berlaku ni?”, tanya Raisha kebingungan. “Entahlah. Aku pun bingung ni. Bukan setakat bilik ni sahaja tapi Julia. Siapakah dia sebenarnya, misteri sungguh”, kata Rania menyambung kata Raisha.

Dalam kebingungan sempat Raisha mengingatkan banrang yang diterima Rania sebentar tadi. “Eh..kau beli barang apa Rania. Cepatlah bukak?”, pinta Raisha tidak sabar cuba mengalihkan topik perbualan. “Owh ye. Lupa pulak. Adalah kau pun mesti suka. Lama dah aku idamkannya”, sambil Rania membuka bungkusan yang diberi. Peliknya. Bukan bungkusan seperti dari syarikat kiriman barang. Di luar bungkusan dibungkus sangat cantik dan kemas. Tapi…”Subhanallah..tidakkkkkkkkk”, Rania membaling barang yang diterima ke tepi dinding. Hampir-hampir terkena Raisha tapi sempat dielaknya. “Ran…Kenapa ni?”, terkejut Raisha dibuatnya. Rania menekup mukanya dan mengigil seperti ketakutan. Tangan Rania menunjuk ke arah barang yang dibalingnya. Raisha sangat pelik. Bingkas bangun dan melihat apakah rupa barang yang diterima oleh Rania sehingga dibuang begitu sahaja. “Erm..Ran..Ran..Benda cantik macam ni dibuang sesuka hati”, nak tergelak Raisha dengan gelagat Rania. Ran…kalau kau tak nak bagi aku jelah. Cantik juga kalau aku pakai”, sambil Raisha menggayakan handbag jenama terkenal yang dibeli secara online oleh Rania. Tersentap Rania dengan kata-kata Raisha. “Bawak sini”, terbeliak mata Rania dengan apa yang dilihat. Betulkah pandangannya tadi atau dia yang terkilas pandang. “Astagfirullahalazim……”, istigfar panjang Rania. Kerana barang yang dilihatnya tadi sekilas seperti  menyerupai seperti batu nisan. Sebab itu secara spontan dia membaling barang itu. Tapi yang nyata sekarang barang itu adalah hadbag yang dibelinya. Semakin bingung Rania.



BAB 6

Tidur malam tadi dilalui dengan tenang oleh Raisha dan Rania. Tiada kejadian pelik berlaku seperti malam sebelumnya. Masing-masing dapat tidur dengan lena tanpa sebarang gangguan. Mungkin masing-masing keletihan seharian kuliah. Raisha terjaga. Dilihat jam di dinding menunjukkan 5.30 pagi. Waktu solat subuh hampir tiba. Raisha bangun sambil mengeliatkan badannya. Dia duduk bersila di atas katil, belum ingin turun. Dia ingin merehatkan dulu badannya.Terasa sejuk pula hingga ke tulang. Di pandang ke atas, kipas di syiling bergerak laju. “Patutlah sejuk. Alhamdulillah syukur Ya Allah. Masih beri peluang untuk aku bernafas hari ini”, sempat Raisha mengucapkan rasa syukur kepadaNya sambil menarik nafas dalam dan dilepaskan. Dilihatnya Rania masih lena tidur sambil berdengkur tapi perlahan. “Erm nyenyak lagi tidur Rania ni”, kata Raisha perlahan. Di pandangnya tingkap. Tenang sahaja tiada yang ganjil. Tingkap tertutup rapat ditutupi oleh langsir. “Cantik langsir tingkap ni. Tapi pelik kenapa student sebelum ni tak ambil ye. Dibiarkan untuk semester ini. Tapi tak mengapalah, mungkin dia ingin bersedekah. Lagipun langsirnya pun cantik. Warna kuning keemasan tapi soft sahaja warnanya. Siap ada scarlop berwarna kelabu kehitaman. Tapi warnanya sangat matching dan nampak seperti baru dan bersih serta ada berbau wangi. Erm rezeki kitaoranglah menghuni kat bilik ni”, Raisha berkata sendirian dalam hati sambil tersenyum tanpa rasa curiga. Terlupa seketika tentang misteri tingkap itu. “Ehhh apa aku merepek ni. Tingkap pulak aku kisahkan. Hisss…Ran..Ran…bangun. Dah subuh ni”, Raisha tersedar dari mengelamun dan terus bangun mengejutkan Rania. Azan subuh sudah berkumandang jelas kedengaran dari masjid kampus yang kebetulan berdekatan dengan blok tempat tinggal mereka.

“Hah…okay-okay”, jawab Rania masih mamai. Hanya bersuara tapi masih berbaring dengan mata tertutup lagi. Semakin ditarik selimutnya ke kepala. Raisha mengelengkan kepala. “Aku nak mandi ni. Nak sekali tak?. Karang sibuklah nak berteman bagai”, bebel Raisha dengan meninggikan suaranya mengingatkan Rania sambil menjeling kepada Rania. “Iyah.. aku bangunlah ni. Erm baru jer nak bermimpi”, jawab Rania bangun terpaksa sambil mengeliat beberapa kali. “Apa? Baru nak mimpi. Hei kawan, dah subuh. Kalau iyepun nak bermimpi malam tadi bukan sekarang”, bebel Raisha lagi. “Yelah-yelah”, sambil Rania mencebikkan bibirnya pada Raisha. “Orang gurau ajelah”, kat Rania perlahan tapi masih dapat didengar oleh Raisha. “Erm dahlah tu, cepat sikit kang penuh bilik mandi tu”, ajak Raisha. Sepantas kilat Rania bangun dan mencapai tuala dan alatan mandi. Malas sahaja ingin melangkah. Raisha sudah siap bersedia untuk ke bilik mandi sambil menunggu Rania di muka pintu. Cuaca di luar masih gelap.

“Eh korang, awal jugak bangun. Kuliah pagi ker”, Raisha di sapa Sharlene. “Ada kelas kul 8.00. Nak solat subuh dan bersiap awal”, jawab Raisha menyambut sambil tersenyum. “Dah mandi ke”, tanya Raisha kepada Sharlene. “Belum. Awal lagi’, sambil Sharlene berjalan masuk ke biliknya. Raisha hanya mengangkat bahunya. “Hei beb, cepaaaatlaaaah”, jerit Raisha kepada Rania yang masih tak keluar dari bilik. “Yelah dah siap ni. Kau cakap dengan siapa tadi”, tanya Rania seperti mendengar perbualan Raisha dengan seseorang. “Sharlene”, jawab Raisha. “Sharlene ori ke atau…”, sambil Rania tersenyum nakal. “Hiss dah jangan fikir yang bukan-bukan. Cepatlah”, gesa Raisha tak nak diselubungi misteri lagi. Keduanya jalan beriringan ke bilik mandi. Sunyi jer bilik mandi. “Erm diorang ni tak bangun subuh ke”, tegur Raisha. “Hiss kau ni, manalah tahu semuanya tengah bulan mengambang”, sambil Rania tertawa kecil. “Mungkin kot”, jawab Raisha pendek.

Selesai mandi keduanya berjalan beriringan menuju ke bilik. Tapi baru nak melangkah masuk ke dalam bilik, tiba-tiba terasa angin bertiup agak kuat. Kain langsir tersingkap dek hembusan angin. Rupanya tingkap terbuka separuh. Amat jelas tapi suasana di luar masih gelap.  Raisha dan Rania saling berpandangan. “Siapa?”, tanya Raisha kepada Rania. Tapi Rania hanya mengangkat bahu. “Eh beb, kita solat kat surau saja lah”, ajak Raisha tiba-tiba. Rania dan Raisha meletakkan barangan mandian kelam kabut dan terus mencapai telekung. Cepat-cepat keduanya keluar dari bilik. Kedegang. Pintu ditutup agak kuat. Keduanya berjalan sepantas yang boleh. “Oooppppsss…Ya Allah”. Raisha hampir terlanggar seseorang. Dilihatnya Marissa di depannya. Kebetulan Marissa baru melangkah keluar dari biliknya. Tak disangka Raisha dan Rania yang sedang berjalan agak laju betul-betul muncul di depan pintunya. “Hisss apahal dengan korang ni. Berjalan macam tak cukup tanah. Dahlah tu tak tengok-tengok dah. Nasib baik tak tercium”, bebel Marrissa sambil tertawa kecil. Ditangannya ada baldi kecil berisi barangan mandian hampir-hampir terjatuh dilanggar Raisha. Rania di belakang Raisha hampir berlanggar dengan Raisha pula.

“Marissa, sorry-sorry. Tak sengaja. Ha ah kami nak cepat pergi solat kat surau. Sorry ye tak perasan awak”, jawab Raisha sedikit bergetar. Rania hanya menganggukkan kepalanya. Sempat Raisha menjenguk ke dalam bilik Marissa. Tingkapnya tiada berlangsir sangat lapang. Teman sebilik Marissa, Umairah kalau tak silap masih tidur nyenyak di atas katil. “Erm tak mengapalah. Aku pun silap, keluar tak pandang kiri kanan”, kata Marissa mengakui juga dia salah. “Eh kitaorang pergi dulu ye”, jawab Raisha terus berjalan diikuti Rania di belakangnya. Marissa terus berjalan sendirian ke bilik air. Tapi sudah kelihatan beberapa orang student penghuni Blok yang sudah keluar untuk ke bilik air. “Tengok tu, dah ramai dah. Kalau kita lambat mandi tadi dah kena Q”, kata Raisha mengingatkan Rania. “Erm betullah kan”, Rania hanya menyiakan kata-kata Raisha.

Sampai di surau. Kosong. Tiada seorang pun kariah di surau. Raisha dan Rania terus membentang sejadah dan bersolat sunat dan diikuti solat Fardhu Subuh. Selesai keduanya bersolat. Raisha membuka telekung dan dilipat kemas. Rania masih di dalam telekung. “Raisha. Betul ke apa yang kita nampak tadi?”, tanya Rania ragu-ragu. Raisha memandang tepat ke mata Rania. “Entahlah Ran. Misterikan bilik kita tu”, kata Raisha. “Tapi yang lagi misteri tingkap tu”, kata Rania. “yup betul tu. Tadi aku sempat menjengah dalam bilik Marissa. Tingkap diorang kosong, tiada langsir. Berbeza dengan bilik kita ada langsir. Bukan sahaja ada tapi sangat cantik, bersih dan wangi”, terang Raisha lagi. “Betullah Raisha. Macam ada yang tak kena kan”, Rania cuba memikirkan sesuatu. Kedua-duanya terdiam seketika. “Raisha, aku takutlah nak masuk bilik”, kata Rania. “InshaAllah. Dari surau ni kita jangan berhenti baca Ayat Kursi hingga sampai dalam bilik. Ingat tu”, ajar Raisha. “Owh..okay-okay”, Rania hanya mengikut kata Raisha yang nampak lebih berani dari dirinya.


BAB 7
Raisha berjalan beriringan dengan Rania. Mulut keduanya terkumat kamit membaca Ayat Kursi. Perlahan sekadar terdengar di telinga mereka. “Hai Raisha. Rania. Korang dari surau ye”, keduanya disapa oleh Maslini yang sedang berdiri di korridor depan biliknya. Di tangannya memegang handphone. Mungkin baru habis menjawab telefon. Tapi masih sempat Maslini menegur Raisha dan Rania dalam perjalanan dari surau nak balik ke bilik. Kedudukan bilik Maslina dengan bilik mereka hanya selang empat buah bilik. Tapi Raisha mahupun Rania hanya mengukir senyuman tak mampu membalas pertanyaan itu. Ini kerana mereka sedang kusyuk membaca Ayat Kursi hingga ke bilik. Mereka tidak mahu terputus. Maslini hanya tersenyum melihat gelagat pelik dua orang sahabat itu yang berlalu di depannya tanpa menyahut pertanyaannya. Tapi Maslini tak ambil hati tentang mereka. Sepanjang mereka melalui beberapa bilik yang terbuka, sempat mereka menjeling ke tingkap bilik-bilik tersebut. Semua bilik yang mereka lalui tiada berlangsir. Kosong.

Sampai betul-betul keduanya di depan pintu bilik, Raisha memberikan isyarat berhenti. Raisha  membaca Bismillah disambung ayat Kursi dibaca sampai habis pada kadar suara yang tidak kuat, sambil perlahan-lahan Raisha membuka pintu. “Kriiiuuukkk”. Bunyi pintu dikuak. Rania hanya berpaut di bahu Raisha. Namun yang terdengar hanya bunyi kipas angin sedang laju berpusing. Mata keduanya hanya difokuskan pada tingkap. Hairan tingkap tertutup rapat. Walaupun kain langsir sesekali bergerak kerana ditiup angin kipas angin yang agak laju tapi berbeza apabila angin dari luar menerbangkan langsir. “Alhamdulillah”, ucap Rania sambil mengurut dada. Lega keduanya. Raisha dan Rania  tanpa rasa ragu masuk ke dalam bilik. Dikemaskan apa yang patut dan terus bersiap untuk ke kuliah. Tapi mulut keduanya masih tidak lekang dari membacakan ayat-ayat suci Al Quran. Pagi itu mereka ingin pergi awal kerana tidak mahu berebut-rebut bila naik bas nanti. Biar awal agar tidak terkejar-kejar nanti.

Di bus stop sudah ramai student yang menunggu bas. Tiba-tiba seperti ada sedikit kekecohan. Rupanya di celah-celah student itu keluar Fatehah. “Hiss..korang ni tepilah sikit. Tolong bagi laluan, bagi laluan”, agak kuat suara Fatehah. Selamba sahaja Fatehah cuba merempuh kumpulan student yang sedang beratur dan agak sesak di bus stop. Kelihatannya agak tergesa-gesa ingin mendapatkan Raisha dan Rania.Tapi Raisha dan Rania hanya tenang berdiri di hujung bus stop kerana tidak mahu bersesak-sesak dengan student yang lain. Mereka hanya melihat gelagat Fatehah yang mencuit hati. “Hai, dari tadi aku mencari-cari korang. Ingatkan dah kena tinggal”, bebel Fatehah. “Nak tinggal apanya. Dah tentu bus stop ni cuma satu. Bas pun belum sampai. Mana nak hilangnya kitaorang ni”, jawab Rania malas nak melayan sangat Fatehah. Tetapi disambut dengan senyuman oleh Fatehah. 


“Eh, room mate kau tak naik bas sekali ke”, Raisha mendekatkan mulutnya ke telinga Fatehah berbisik. “Owh dia kelas kul 10.00. biasalah masih membuta”, direct sahaja Fatehah berkata sambil mencebikkan bibirnya. Tersenyum Rania dan Raisha. “Kau ni tak takut erk”, tiba-tiba terkeluar ayat yang tak dijangka oleh Fatehah. Timbul persoalan dalam fikiran Fatehah apa yang dimaksudkan oleh Rania. Dia kurang jelas. “Apa maksud kau Rania?”, Fatehah bertanya ingin kepastian. Raisha menyenggol lengan Rania. “Eh tak ada apalah Fatehah. Kau kan tahu Rania ni suka sangat mengusik kau. Jangan dilayanlah”, sambil Raisha mengenyitkan mata kepada Rania. “Betul ni, ke ada sesuatu yang korang sorok dari aku”, Fatehah tertanya sendiri kerana seperti ada sesuatu rahsia yang disimpan oleh Rania mahupun Raisha. “Eh jom-jom beratur cepat. Bas dah sampai”, ajak Raisha. Persoalan Fatehah tergantung begitu sahaja di situ. Tapi dari riak wajah Fatehah masih tidak berpuas hati dengan kata-kata Rania. “Peliklah diorang ni. Dari kelmarin sibuk bertanyakan hal si Julia. Mesti ada sesuatu”, fikir Fatehah dalam hati. “Erm tak mengapalah lambat laun dia akan tahu juga nanti”, Fatehah masih bertanda tanya tapi tak mahu terlalu memikirkannya. Sepanjang perjalanan dilihat Raisha dan Rania bersahaja seperti tiada apa-apa berlaku. Di dalam bas Fatehah duduk dengan student lain. Raisha dan Rania duduk di kerusi hadapannya. Tapi Fatehah terperasan Rania sesekali menoleh ke belakang ke arahnya sambil menjeling dengan mengukir tersenyum penuh makna. Ia menambahkan lagi rasa tanda tanya dalam diri Fatehah.


BAB 8

“Assallamualaikum. Boleh saya duduk sama”, pinta Harith Haykal. Terhenti Raisha ingin menyuap makanan. Rania menoleh datangnya suara garau lelaki. “Eh..Harith. Waalaikumussallam. Boleh apa salahnya, tempat awam pun kan”, jawab Raisha agak terkejut tapi tetap menyambut baik kehadiran Harith Haykal. “Korang apa khabar. Semester ni baru kita dapat jumpakan”, terang Harith Haykal dan duduk bertentangan dengan Raisha. “Rindu ker?”, tanya Raisha spontan. Harith Haykal hanya tersenyum dengan pertanyaan Raisha. “Kau sorang je ke. Mana kawan baik”, Rania bertanyakan tentang seseorang sambil meninjau kalau-kalau ada orang yang dimaksudkan. “Maksud kau, Rizqi. Erm semester ni kita tak geng”, jawab Harith Haykal berseluroh. Raisha hanya tersenyum. Rania seperti tidak berpuashati dengan jawapan Harith Haykal yang cuba ingin bergurau. “Hisss tak adalah. Tadi ada dengan aku tapi dia ada hal. So dia keluar kejap ke bandar”, terang Harith Haykal membetulkan keadaan.

“Kebetulan dah jumpa dengan kau ni, aku ada hal nak bincang”, tiba-tiba Raisha bersuara. Rania hanya memandang ke arah Raisha. Tidak tahu apa yang ingin dikatakan oleh Raisha sebenarnya. “Ada apa, aku okay je. Lagilah kalau pasal korang berdua kan no hal punya”, kata Harith Haykal berasa teruja. “Eh ke situ pulak dia. Jangan nak perasan ye”, Rania cuba menidakkan kata Harith Haykal. “Ran..rilekslah. Aku rasa kita kena minta pertolongan diorang. Lagipun Rizqi seorang yang tinggi pendidikan agamanya. Mungkin dia boleh bantu kita”, sambil Raisha memandang kepada Rania agar memahami apa yang ingin dikatakan. Rania hanya diam sahaja akur dengan kata-kata Raisha. “Eh korang, ada masalah ke. Macam berat pulak aku rasa ni”, Harith Haykal rasa ada sesuatu yang tak kena. Memek wajah Raisha juga nampak serius. “Okaylah, cuba cerita. Apa sebenarnya berlaku pada korang ni”, gesa Harith Haykal ingin tahu.

“Ehem..ehem…ada jejaka pujaan ramai di sini rupanya. Harith dari dalam kelas I cari you. Rupanya kat sini”, tiba-tiba muncul Julia di antara mereka. Hampir terbeliak mata Raisha dan Rania. “Kenapa Julia terlalu manja dengan Harith. Mereka ada apa-apa hubungan ker”, teka Raisha dalam hati. Rania hanya memandang dengan pandangan kurang senang. “Lain macam jer si Julia ni. Berbeza-beza perwatakan dia. Pelik”, fikir Rania pula dalam hati. Harith Haykal hanya tersenyum memandang ke arah Julia. “Eeeeiii meluatnya aku tengok”, bisik Rania di telinga Raisha. Tapi Raisha hanya diam tanpa kata. “Eh Julia sorry. I ada hal tadi. Erm kalau pasal perbincangan assignment tu nanti kita bincang dalam whatsap group ye. Sekarang I ada perbincangan dengan diorang”, sambil Harith Haykal mengenyitkan mata kepada Raisha. Minta pertolongan mereka untuk menyakinkan Julia. “Hah..ha ah, kitaorang ada hal nak bincang”, Raisha faham dengan isyarat Harith Haykal sambil menganggukkan kepalanya. “Owh, okaylah kalau macam tu. Sorrylah kalau I ganggu you all semua. Tapi Harith you jangan lupa pulak info dalam group tau. ASAP”, kata Julia manja sambil matanya menjeling tajam ke arah Raisha dan Rania.

“Julia, thank ye tolong hantarkan parcel saya tempohari”, Rania teringat kembali Julia yang menghantarkan kiriman pos barang yang diordernya tempohari. Sambil Rania bangun ingin mengucapkan terima kasih. Tapi…jawapan Julia amat menghairankan. “Baraaang? Barang apa ye”, tanya Julia dengan wajah hairan. Macam tak ada pulak”, jawab Julia tapi seperti tidak ambil serius dengan pertanyaan Rania. “Eh okaylah I beredar dulu”, Julia menimbulkan tanda tanya dan terus berlalu meninggalkan mereka bertiga. “Raisha, bukan ke Julia yang…….?”, tanya Rania kepada Raisha perlahan dan duduk kembali. “Ran…its okay. Sebab itulah kita kena bincang ni”, kata Raisha yang terasa semakin keliru. Tapi dia cuba bertenang. Cuma Rania agak gopoh. Harith Haykal yang memerhati sedari tadi berasa semakin pelik dengan kelakuan Raisha dan Rania. Apa pula kaitannya dengan Julia. Semakin bingung di kepala Raisha dan Rania memikirkan apa yang berlaku sebenarnya.


BAB 9

Harith Haykal menyedut sisa air limau ais yang masih berbaki. Tapi kepalanya ligat memikirkan sesuatu. Apa yang diceritakan Raisha dan Rania bukan sesuatu yang biasa-biasa. Perkara yang agak misteri. Antara percaya dengan tidak. Tapi sedayanya dia akan cuba membantu mereka. Cuma dia tak mampu berseorangan, tapi orang yang paling sesuai  bersama-samanya adalah Rizki.

“Tapi Harith, terpulanglah sama ada kau nak percaya atau tidak. Tapi semua inilah yang kami alami beberapa hari lalu. Dan sampai hari ini masih belum ada jawapannya”, terang Raisha ingin meyakinkan Harith. Sedari tadi semasa dia dan Rania menceritakan hal sebenar tiada respon dari Harith Haykal. Dia banyak berdiam mungkin ingin mendengar dengan jelas apa yang berlaku sebenarnya.

Harith Haykal menarik nafas panjang sambil memulakan kata. “Korang jangan risau nanti aku cuba bincang dengan Rizqi.  Macamana cara untuk bantu korang. Cuma harap korang jangan terlalu memikirkan sangat hal ini ye. Kalau ada apa-apa call je aku. InshaAllah aku sedia membantu”, menurun sahaja nada suara Harith tapi tetap mengukir senyuman dan ingin memberikan harapan. Kerana kali ini dia yakin Raisha dan Rania memang serius. Dia tak mahu bergurau tentang hal macam ini. “Terima kasih Harith”, ucap Raisha sedikit lega. “Terima kasih Harith”, Rania juga mengucapkan terima kasih atas kesudian Harith Haykal ingin membantu mereka. Harith Haykal hanya menganggukkan kepalanya tanda menerima.

“Cuma……aku sedikit musykil tentang Julia”, tiba-tiba Harith Haykal cuba membicarakan tentang Julia. “Julia tu memang  pelik atau aku jer yang perasan. Tapi apa yang kau musykilkan tentang Julia”, Rania cuba memberikan gambaran tentang diri Julia bila respon dari Harith seperti tidak mempercayai kata-katanya. “Eh tak ada apalah”, jawab Harith Haykal tak nak merumitkan keadaan. Biar dia dengan Rizki cuba membantu dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi oleh Raisha dan Rania. Satu persatu. “Macam aku katakan tadi, aku akan berbincang dengan Rizki macamana”, ulang Harith Haykal lagi. “Cuma aku ada cadangan. Tapi terpulanglah pada korang berdua nak terim atau tidak. Apa kata kalau korang berdua cuba bertanya sendiri dengan Julia tentang apa yang telah berlaku”, cadang Harith Haykal. “Maksud kau?”, tanya Rania ingin kepastian. “Bersemuka dengan Julia.  Beritahu semuanya apa yang telah berlaku dan sedang menghantui korang berdua. Mungkin Julia ada jawapannya”, terang Harith Haykal lagi. “Dalam masa yang sama, aku dan Rizki cuba mencari jalan penyelesaian segala misteri yang berlaku ni”, kata Harith Haykal lagi. “Mungkin di situ ada petunjuknya”, kata Harith lagi ingin menyakinkan keduanya. Cuma Raisha dan Rania hanya diam cuba memikirkan sesuatu. “Tapi nak ke Julia dengar semua ni. Aku tak yakin dia akan percaya”, kata Raisha kurang yakin dan memikirkan sebaliknya. Rania seperti tidak setuju dengan cadangan Harith Haykal. Raisha masih berdiam.

 “Erm kejap. Bukan ke korang rapat dengan Fatehah. Roomate Julia. Korang boleh dapatkan maklumat dari Fatehah juga. Lagi mudah kot”, cadang Harith Haykal dari sejak tadi telah banyak memberikan cadangan dan jalan. “Betul juga tu. Fatehah orang yang paling dekat dengan Julia kerana mereka sebilik”, kata Rania seperti mendapat idea. “Aku ada terfikir juga cuma tak terlafaz”, baru Raisha bersuara sedari tadi hanya berdiam. “Cuma aku sedikit musykil. Fatehah pernah bagitau Julia orangnya suka menyendiri dan tak banyak cakap. Tapi masa dia tegur kau tadi sangat berbeza perwatakannya. Nampak dia sangat peramah dan mesra”, terang Raisha mengingatkan sesuatu. “Ha ah betul kata Raisha. Aku pun perasan”, Rania menyiakan kata-kata Raisha. Harith Haykal tiba-tiba ketawa. “Erm korang silap. Rasanya korang memang tak kenal siapa Julia kan”, kata-kata Harith Haykal menjadikan segalanya semakin rumit.

“Selama aku kenal Julia, dia seorang yang sangat periang. Happy go lucky dan friendly. Sebab dah banyak semester sekelas dan satu group dengan dia”, terang Harith Haykal sangat bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Fatehah kepada mereka. Cuma Julia yang mereka pernah nampak seperti dua orang yang sama tapi berbeza perwatakan. Dari segi pakaian juga ada perbezaan. Baru Rania terperasan akan hal itu. “Hisss..tak mungkinlah”, tiba-tiba Rania bersuara. “Apa dia Ran?”, tanya Raisha hairan dengan kata-kata Rania. “Memang ada yang tak kena”, jawab Rania sangat yakin. Raisha dan Harith Haykal saling berpandangan tak tahu apa yang sedang difikirkan oleh Rania.


BAB 10

Raisha dan Rania memilih cadangan Harith Haykal untuk bertemmu dengan Fatehah. Mereka tidak yakin untuk mengorek rahsia daripada Julia sendiri. Cuma mereka ada pilihan. Selepas kelas petang Raisha, Rania dan Fatehah jalan beriringan ingin menuju ke kafeteria. Raisha memulakan bicara. “Fatehah. Kitaorang ada hal nak tanya kau ni”, tanya Raisha. ‘Erm apa dia”, jawab Fatehah pendek. “Pasal Julia”, kata Raisha. Fatehah sekilas memandang ke arah Raisha. “Kenapa dengan Julia?”, tanya Fatehah sedikit ragu. “Dah beberapa hari ni kau dah duduk sebilik dengan Julia kan. Ada tak perkara pelik atau yang tak kena berlaku”, tanya Raisha membuatkan Fatehah berasa hairan. “Erm, setakat hari ini okay je”, jawab Fatehah jujur ikut apa yang dialaminya. “Kami jarang berbual. Masing-masing buat hal sendiri. Cuma kadang-kadang dia tergelak sorang-sorang sambil mengadap handphone. Tapi itu kira biasalah kan”, terang Fatehah. “Ni yang aku musykil dari hari tu korang asyik tanya pasal dia. Apa sebenarnya berlaku. Apa kaitan dengan Julia pula”, desak Fatehah ingin tahu. “Betul kau nak tahu ni. Jangan nanti bila kitaorang dah ceritakan, kau takut nak balik bilik pulak”, sakat Rania sambil tersenyum ke arah Fatehah. “Eh korang, janganlah nak takutkan aku. Berdiri bulu roma aku ni tiba-tiba”, kata Fatehah seram. Rania hanya tergelak dengan respon Fatehah. Raisha hanya tersenyum melihat kenakalan Rania tak habis-habis nak menyakat Fatehah.

“Jom aku nak tunjukkan sesuatu”, ajak Raisha supaya Fatehah mengikut di belakangnya termasuk Rania. “Nak ke mana ni Raisha, Rania”, tanya Fatehah pelik. “Ikut jelah, banyak sangat lah kau ni tanya. Kata nak tahu sangat”, jawab Rania mendengus. “Yelah-yelah”, akur Fatehah hanya mengikuti di belakang Raisha dan Rania sambil diam. “Erm nanti kalau tanya lagi kena marah pulak”, keluh Fatehah dalam hati. “Erm baik diam saja tengok apa sebenarnya berlaku”, kata Fatehah lagi dalam hati. Tiba-tiba Raisha berhenti. Fatehah dan Rania berhenti sama. Fatehah memandang sekeliling. “Tiada apa yang mencurigakan atau pelikpun. Tapi yang peliknya mereka berdua”, fikir Fatehah masih tidak tahu apa sebenarnya yang ingin ditunjukkan oleh Raisha mahupun Rania.


“Fatehah, kau nampak tak pokok pelam tu?”, tanya Raisha. Fatehah memandang ke arah pokok pelam yang dimaksudkan. “Hah kenapa pokok pelam tu. Biasa je cuma buahnya tengah lebat. Geram je tengokkan. Kalaulah dapat petik makan cicah kicap dengan gula dan dipatah-patahkan cili api. Erm mabeles hot terangkat. Ngences jugak dibuatnya”, tanya Fatehah cuba berseluroh dan tergelak. “Erm kau ni Fatehah, pasal makan cepat je kan. Orang serius kau main-main pulak erk”, tegur Rania kerana Fatehah tidak seirus. “Eh salah ke aku cakap”, cemik Fatehah. “Sudahlah tu Rania, Fatehah cuba jangan nak bertengkar je”, tegur Raisha ingin mengawal keadaan yang sesekali tegang dengan gelagat Rania dan Fatehah.

“Kau ingat lagi tak masa kitaorang cari kau dalam kelas tapi kau dah balik bilik. Kau kata kau sakit perut. Masa kitaorang dalam perjalanan nak ke kafeteria lebih kurang macam ni, kitaorang nampak..”, belum sempat Raisha meneruskan kata-katanya Fatehah sudah memotong. “Korang nampak hantu ke?”, tanya Fatehah gopoh. “Hiss kau ni tak sabar kan”, geram je Rania dengan sikap Fatehah. “Ehh sorry-sorry”, Fatehah perasan dia terover. “Erm memang kami nampak hantu. Hantunya adalah roommate kau sendir, Julia”, terus terang Rania tak dapat bersabar lagi. Geram dengan sikap Fatehah sedari tadi seperti mempermainkan kata-katanya. Terdiam dan terkedu Fatehah. Matanya dibulatkan. “Betul ker? Hiss korang tapi aku gurau je ni”, jawab Fatehah mula terasa takut. “Erm….yelah kitaorang pun gurau jugak”, jawab Rania tapi dengan muka yang sangat serius.

“Tak Fatehah kitaorang serius ni. Memang aku dan Rania nampak kelibat Julia bawah pokok tu. Cuma yang musykilnya baju yang dia pakai tidak sama dengan Julia yang kami nampak di kafeteria petang itu. Lagipun kau ada bagitau Julia ada dalam bilik bersama kau pada masa yang sama kan. Masa di kafeteria tu Julia berjalan di depan kitaorang sempat dia menjeling tajam ke arah kitaorang”, terang Raisha lagi. “Pelik tak tahu kenapa dia jeling kat kitaorang masa tu”, kata Rania menyambung kata Raisha. Fatehah pula masih terkedu tapi tekun mendengar penjelasan Raisha dan Rania. “Jadi sekarang siapakah Julia yang kitaorang nampak di bawah pokok pelam tu”, kata Raisha lagi penuh tanda tanya. Fatehah mula bingung. “Eh eh korang, korang aku tidur bilik korang malam ni. Boleh”, spontan Fatehah meminta kebenaran, ada getar di nada suaranya. Raisha dan Rania saling berpandangan. “Tolonggg….Please…”, rayu Fatehah bersungguh. ‘Erm tadi berani sangat  kan”, sempat Rania mengusik Fatehah lagi. Muka Fatehah dah berubah pucat. “Eh kejap, aku ada plan”, tiba-tiba Raisha mendapat idea. Rania dan Fatehah saling berpandangan. “apa plan kau Raisha”, tanya Rania.


BAB 11

Raisha dan Fatehah setuju dengan cadangan Rania untuk pergi ke bilik Fatehah. Tapi yang berlaku amat mengejutkan. Sesampai di bilik Fatehah, dengan penuh debaran ketiga-tiganya berdiri di depan pintu bilik. Memandang ke sekeliling. Sepi dan sunyi. Mungkin student-student yang lain berehat di dalam bilik masing-masing atau masih belum pulang fikir mereka. “Eh korang, aku nak ke toilet jap, nak buang air tak tahan ni”, pinta Rania seperti sedang menahan. “Okay Ran, hati-hati”, jawab Raisha sempat berpesan. Tapi Rania antara dengar dengan tidak berjalan agak laju untuk ke bilik air.Sekejap hilang dari pandangan. Kini yang tinggal Raisha dan Fatehah sahaja. Tanpa berlengah Fatehah cuba membuka pintu.

Tombol pintu dipulas beberapa kali. Kunci. “Tok..tok..tok..”, pintu diketuk beberapa kali. Salam diberi beberapa kali juga. Masih tiada jawapan. Senyap sahaja di dalam. Fatehah mendekatkan telinganya di pintu bilik, cuba ingin mendengarkan bunyi-bunyi sekiranya memang ada penghuninya. Fatehah memandang ke arah Raisha sambil menggelengkan kepala. Hanya Fatehah dan Raisha sahaja di situ kerana Rania awal-awal mintak izin untuk pergi ke bilik air. Fatehah melihat jam tangannya. Sudah melewati jam 6.30 petang. Biasanya waktu begini Julia sudah balik dan santai-santai dalam bilik. Dipulas lagi tombol pintu beberapa kali. Sah tiada orang. “Julia tiada dalam bilik”, kata Fatehah sambil menyelok beg sandangnya beberapa kali. Mencari-cari letak kunci biliknya. “Aduhai selalu ada dalam kocek ni”, rungut Fatehah. “Ke kau tertinggal kunci kat dalam bilik”, kata Raisha. “Erm tak pasti. Aku tak pernah tinggal kunci”. Pelik Fatehah kunci biliknya tiada dalam kocek beg. Raisha membantu Fatehah menyelongkar beg sandang Fatehah. Dah dikeluarkan semua isi perut beg masih tidak berjumpa dengan kuncinya. Buntu Fatehah. Dalam masa yang sama Fatehah berasa sangat hairan. Raisha menggelengkan kepalanya. Fatehah hanya mengangkat bahunya.

“Eh apa korang buat kat depan pintu ni. Ya Allah abis buku berterabur”, belum sempat Raisha dan Fatehah mengemaskan balik buku-buku ke dalam beg mereka di sapa seseorang. Ingatkan Rania. “Cepat betul Rania balik dari bilik air”, fikir Raisha tapi suaranya lain. Serentak Fatehah dan Raisha menoleh ke atas. “Julia”, hampir serentak Fatehah dan Raisha menyebut nama Julia. Tersenyum sinis Julia ke arah mereka. Fatehah sudah bangun mendapatkan Julia. Raisha masih mencangkung membantu mengemaskan buku dan barang-barang Fatehah untuk dimasukkan ke dalam beg semula. “Nah Fatehah. Erm memang tak ada”, sambil Raisha menghulurkan beg kepada Fatehah. “Terima kasih Raisha”, ucap Fatehah. Pertanyaan Julia belum dijawab.

Julia masih tercegat di sisi mereka. “Eh Julia aku tertinggal kunci agaknya. Nak bukak pintu berkunci. Ingat kau dah balik bilik. Tengok dalam beg pun tak ada habis dah dikeluarkan semua”, terang Fatehah. “Owh ingatkan kenapa tadi. Mungkin kau tertinggal di dalam. Tepi sikit aku bukak pintu tu”, jawab Julia tenang sambil tersenyum. Rania sudah balik dari bilik air. “Eh Julia. Awak kat sini pulak. Bukan ke awak kat bilik air tadi”, tanya Rania selamba tak tahu apa yang sedang berlaku sambil menunjuk ke arah bilik air. Raisha, Fatehah dan Julia saling berpandangan. “Eh I baru je sampai. Tak jengah lagi toilet tu. Tanya diorang”, terang Julia tanpa curiga. Raisha dan Fatehah menganggukkan kepala menyiakan kata-kata Julia. Tidak mungkin Julia ke bilik air.

“Betuuuulll, saya baruuuu jer tegur awak nak mandi. Tapi awak tersenyum sahaj tak menjawab. Bila awak masuk bilik mandi, saya pun teruslah keluar”, Rania cuba mempertahankan apa yang dia nampak dan katakan. “Hiss korang ni kenapa ye. Peliklah. Dari hari tu awak tanya pasal saya. Padahal saya tak tahu pun pasal parcel lah, apa lah”, rimas Julia diajukan persoalan dan kejadian yang pelik-pelik. Raisha tak banyak cakap terus menuju ke bilik air. Diikuti Rania dan Fatehah. Tapi Julia hanya berdiri tercegat di situ seperti tertanya-tanya. “Juliaaaaa. Apa lagi awak tunggu tu, marilah ikut sekali”, ajak Fatehah agak memaksa. Nak tak nak Julia terpaksa mengikut kawan-kawannya yang lain walaupun agak sangsi apa yang berlaku sebenarnya.

Sesampai di depan pintu bilik air, Raisha memberikan isyarat senyap dan berhenti. Terdengar air dibuka laju. Seperti ada orang sedang mandi dan menyanyi tapi perlahan sahaja. “Ada orang, tapi adakah Julia yang dimaksudkan Rania”, bisik Raisha kepada Fatehah. Rania diam tapi matanya tak berkelip memandang ke pintu bilik air itu. Julia hanya memandang kawan-kawannya dengan pandangan yang masih pelik. Pucat muka Rania tak mampu berkata-kata. “Kita nak buat apa sekarang ni. Takkan nak tunggu kat sini je, seram dah ni”, bisik Fatehah pula. “Kita tunggu sehingga orang tu keluar. Kita kena pastikan siapa sebenarnya dia”, jawab Raisha. “Tapi aku takutlah”, kata Fatehah lagi. Bunyi air sudah senyap. Mungkin pili sudah ditutup dan penghuninya sudah selesai mandi.  “Syyyyyyyyy…”, Raisha masih mengarahkan yang lain-lain agar diam. 


Kriiiuuukkkk.. Pintu bilik air seperti ingin di buka. Perlahan-lahan dikuak. Berdebar-debar dada Raisha, Rania, Fatehah dan Julia juga. Mata masing-masing ditumpukan sepenuhnya ke arah bilik air itu. Tanpa diduga dan tidak disangka, yang keluar adalah “ Kamu semua tunggu aku ye…Hahahahahaha”, keluar suara sangat halus seseorang menegur disambung dengan hilaian yang amat mengerikan. Amat nyaring dan garau. Sungguh menyeramkan. “Hahahaaaaantuuu..Hannntuuu.. Larriiiiiiiii……”, tanpa berlengah keempat-empatnya berlari tak cukup tanah menggunakan sepenuh tenaga yang ada. Tapi tak semena-mena Rania jatuh tersungkur. Fateha dan Julia sudah hilang dari pandangan. Raisha terperasan dan cuba ingin membantu Rania tapi dia hanya mampu melihat.


BAB 12

“Hiss anak dara ni, matahari dah meninggi tak bangun lagi dia”, bebel Mak Munah sambil menggelengkan kepalanya. Dikuak sedikit daun pintu bilik Raisha. Dilihatnya Raisha masih nyenyak tidur. Mak Munah masuk perlahan-lahan terus menuju ke tingkap. Diikat langsir dan dibuka tingkap. Biar cahaya matahari pagi masuk memancar hingga ke dalam bilik. Biar terang benderang bilik ditambah dengan lampu yang masih terpasang. “Lariiiiiiiiii……Raniaaaaaaa.. Raniaaaaaa…..”, jerit Raisha tiba-tiba. Mak Munah yang sedang membongkok ingin mengambil bantal yang jatuh di bawah katil terkejut dengan jeritan Raisha. “Astagfirullahalaziimm. Dah kenapa pulak budak ni”, tegur Mak Munah sambil mengurut dada. Bantal di tangannya terlepas ke lantai. Dilihatnya Raisha sedang duduk di atas katil sambil tangannya melambai-lambai ingin mencapai sesuatu. Tapi tiada apa di hadapannya. “Raisha….Raisha…”, digoncangkan tubuh Raisha beberapa kali. “Larii..Larii….Hantuuuuuuuu, jangan kacau aku…”, Raisha menolak ibunya agak kuat dengan mata masih terpejam rapat. Hampir-hampir terbaring Mak Munah di atas tilam.
 

“Raishaaaaaaaa…”, kuat jeritan Mak Munah panjang memanggil nama Raisha berusaha menyedarkan Raisha yang sedang dalam kekalutan. Tersedar Raisha seperti dalam mimpi. Dicubit-cubit pipinya. Sakit. Digosok-gosok matanya yang tidak gatal. Di pandang sekelilingnya seperti di dalam sebuah bilik. Dia kenal sangat suasananya. Iaitu di dalam bilik tidur rumahnya di kampung. Mak Munah masih duduk mengadap Raisha hanya memandang perlakuan Raisha. “Astagfiruullahalaziimm, aku bermimpi rupanya”, kata Raisha perlahan sambil meraup mukanya dengan kedua belah tangannya. Betul kini dia di alam nyata.

“Erm dah kenapa dengan kamu ni. Mengigau di siang hari. Itulah kalau ye pun tak solat janganlah bangun sampai matahari dah meninggi. Anak dara kenalah jaga sikit”, bebelan Mak Munah membuatkan Raisha terdiam tapi memikirkan sesuatu sambil terkebil-kebil. Berpeluh seluruh tubuhnya dapat dirasakan.

“Hah dah kenapa masih duduk lagi tu. Dengar tak apa mak cakap ni”, Mak Munah menegur Raisha dengan nada suara yang agak tinggi. Dilihatnya Raisha masih seperti dalam mimpi. “Kamu mimpi hantu ye”, sempat Mak Munah menegur lagi sambil turun dari katil. Diambil semula bantal yang terjatuh tadi dikemaskan di atas katil. Raisha masih terpinga-pinga mengingatkan sesuatu. “Sudah bangun lekas, mandi. Jangan lupa kemaskan sekali katil tu elok-elok”, pesan Mak Munah yang masih berbaki.

“Erm tadi mak dengar kamu sebut nama Rania. Rania yang mana satu?”, tanya Mak Munah sedikit musykil. “Rania owh kawan Raisha kat kampus”, jawab Raisha acuh tak acuh kerana masih seperti berkhayal. “Orang KL tu ye. Sesekali ajaklah dia datang rumah kita. Mak nak juga kenal. Selalu dengar nama jer”, kata Mak Munah tanpa ada rasa syak. “Erm boleh mak. Nantilah bila ada cuti lagi Raisha bawak Rania datang sini ye”, jawab Raisha sambil tersenyum pada ibunya.

“Maaakkk….”, Raisha memanggil ibunya. “Ada apa”, jawab Mak Munah selamba. “Sekarang ni Raisha kat mana”, pertanyaan Raisha agak pelik. “Eh kenapa dengan kamu ni Raisha. Kan sekarang cuti semester. Minggu depan baru kamu naik semester baru kan. Ni rumah kita lah”, terang Mak Munah sedikit hairan dengan pertanyaan Raisha yang pelik. Tapi Mak Munah hanya tersenyum. “Mak rasa Raisha bermimpi tu yang fikir yang bukan-bukan. Lainkali jangan tidur sampai siang macam ni. Dari segi kesihatan pun bukannya baik”, bebel Mak Munah semakin panjang. “Hah sudahlah tu bangun, pergi mandi. Lepas tu kita sarapan sama-sama. Mak dah masakkan makanan kegemaran kamu nasi goreng kampung pecah telur dengan ulam petai”, Mak Munah telah menyediakan sarapan pagi mereka.

Raisha hanya menganggukkan kepala tapi masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Mak Munah sudah beredar keluar bilik. Raisha meraba-raba handhonenya di atas tilam. “Mana pulak ni”, kata Raisha bingung mencari handphonenya. Tiada. “Erm kan aku charger malam tadi”, kata Raisha sendiri baru teringat sebelum tidur dia charger telefonnya. Dia bangun dan mematikan suis charger. Diambil handphonenya dan duduk di atas katil semula. Ada beberapa panggillan tak berjawab dari Rania. “Ada hal apa pulak Rania call ni. Dari malam tadi, tapi kenapa dia tak angkat ye”, pelik Raisha. Mungkin dia tidur terlalu lena sampai tidak tersedar. Tapi Raisha rasa lagi hairan apa sebenarnya yang telah berlaku. Adakah semuanya hanya mimpi. Semua kejadian yang berlaku di kampus hanyalah mimpinya sahaja. Pening kepala Raisha memikirkan. Kisah misteri tentang tingkap dan Julia. Tapi siapa Julia. Tiada kawan sekampus yang bernama Julia seperti di dalam mimpinya. Yang lain-lain ada dan wujud. Mula timbul persoalan.


BAB 13

“Hello beb. Semalaman aku call tak berangkat. Tidur awal ke”, tanya Rania. “Owh sorry Ran. Entahlah letih sangat badan tu yang tertidur lena agaknya. Pagi ni aku bangun pun macam mamai-mamai je. Tapi kalau bukan sebab mimpi mungkin aku belum bangun lagi ni”, cerita Raisha berasa badannya tak berapa sihat.  “Mimpi?. Kau mimpi ngeri ke”, sakat Rania tergelak kecil mendengar kata-kata Raisha. “Arrrgghh lupakan jelah. Hah apa citer yang beriya-iya sangat ni call aku banyak kali. Ker kau rindu aku”, tanya Raisha cuba mengusik Rania. “Owh tak ada apalah. Tiba-tiba teringat kau tu yang call nak bertanya khabar”, jawab Rania melegakan hati Raisha. “Erm ingatkan ada hal apa yang penting sangat”, jawab Raisah lega.

“Lagipun minggu depan kita dah mula pengajian semester baru kan. Tak sabar rasanya nak mulakan pengajian semula. Nak jumpa kau dan kawan-kawan yang lain”, terang Rania teruja. “Yelah betullah kan. Bila duduk kat rumah lama-lama ni mulalah rasa nak belajar dan jumpa kawan-kawan”, Raisha menyiakan kata-kata Rania. “Cuma aku berharap kita dapat sebilik lagi, aku dah doa banyak-banyak ni”, bersungguh Rania berharap. Terdiam Raisha. “Sebilik?”. Tiba-tiba dia teringat tentang mimpinya malam tadi.  “Raisha..Raisha..Kau ada lagi tak tu”, panggil Rania beberapa kali apabila kata-katanya tidak dijawab oleh Raisha yang senyap tiba-tiba. “Eh..aku ada ni. Erm yelah aku pun macam tu juga”, jawab Raisha sedikit resah. “Tak mengapalah minggu depan kita jumpa di kampus saja”, kata Rania lagi. “Okaylah Ran. Aku pun nak turun ke dapur nak tolong mak masak. Kalau tak nanti bebelnya sampai ke subuh balik tak habis lagi”, Raisha mengatakan perihal ibunya. Tergelak Rania mendengar kata-kata Rania. “Erm betullah Raisha. Tapi kadang-kadang bebelan tulah menghiburkan kita kan. Bila jauh itu yang kita rindukan nanti. Okay kirim salam mak kau ye Raisha”, sempat Rania berkirim salam. “InshaAllah Ran. Kita jumpa next week. Apa-apa update dalam whatsapp ye. Pesan Raisha. “Orite beb. Cau dulu. Assallamualaikum”, Rania memberi salam. “Waaalikumussallam”, Raisha menjawab salam kembali.

Tapi sekarang yang sedang bermain di fikirannya adalah segala yang dia dan Rania hadapi sepanjang di kampus. Adakah benar-benar mimpi atau…… Raisha masih mencari jawapannya. Kebanyakan watak dalam kejadian-kejadian itu memang wujud. Mereka semua kawan-kawannya di kampus. Cuma Julia, dia tak pasti siapa Julia. Permintaan dan doa Rania inginkan mereka kekal sebilik juga seperti merunsingkan kepalanya. Sepatutnya dia sangat gembira tapi sebaliknya kerana hanya disebabkan mimpi itu. Tiba-tiba Raisha terasa seperti ada sesuatu. “Ya Allah jauhkan aku dan kawan-kawanku dari perkara yang tidak baik”, sempat Raisha menitipkan doa.

“Raisha..Raisha. Meh tolong mak perahkan santan ni”, dari dapur dah terdengar jeritan suara mak memanggil. Panggilan ibunya membuatkan Raisha seperti tersedar dari lamunan. “Baik mak. Raisha datang ni”, sahut Raisha sambil bangun dan menuju ke dapur. Dari bilik nak ke dapur Raisha perlu melalui satu ruang tamu yang ada beberapa tingkap. Sekilas dipandangnya tingkap yang terbuka luas. Langsir yang di pasang berterbangan sesekali ditiup angin agak kuat. Sejuk sahaja terasa angin yang menyapa pipinya. “Tingkap. Wujud ke tingkap seperti dalam mimpinya”, terleka Raisha tatkala memandang tingkap itu. “Eh apa aku merepek ni”, seperti tersedar dari lamunan. Kejadian dalam mimpi seperti terbawa-bawa di alam nyata. Tersenyum Raisha sendiri. Cepat-cepat Raisha melajukan langkahnya.


You May Also Like

11 comments

  1. Kepada semua yang sudah membaca keseluruhan novel pendek ini saya mohon bagi kredit ikut bintang kepada naskah ini. Terima kasih atas sokongan semua

    ReplyDelete
  2. Teruskan usaha anda.semoga berjaya

    ReplyDelete
  3. Terbaik saya beri 5 ����������

    ReplyDelete
  4. Lima Bintang.
    Best best

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdullillah. Terima kasih atas bintangnya.Banyak tu

      Delete
  5. Terbaik. 4 1/2 Bintang. Semoga terus maju jaya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah terima masih atas bintangnya. InshaAllah

      Delete
  6. Terbaik. Tahniah

    ReplyDelete